Setiap orang pasti mempunyai impian untuk berjaya dalam kerjaya yang diminati, biarpun terpaksa melalui pelbagai onak dan duri untuk menggapainya.
Namun, realiti hidup ini tidak seindah seperti mimpi-mimpi kita. Komitmen yang tidak pernah berhenti, tekanan kerja serta karenah manusia adakalanya membuatkan seseorang mula penat, hilang semangat dan terfikir untuk melepaskan impian yang selama ini diperjuangkan.
Malah, ada yang akhirnya memilih jalan hidup berbeza demi mencari ketenangan dan kebahagiaan.
Seperti kisah seorang wanita di China ini yang membuat keputusan berani meninggalkan kerjayanya sebagai doktor selepas lebih dua dekad dalam bidang perubatan.
Keputusan yang dibuat tiga tahun lalu itu menyaksikan Dong Min, 48, membuka sebuah kedai pau di Wuhan, wilayah Hubei.
Selepas tiga tahun, kedainya bukan sahaja berjaya bertahan malah berkembang dalam industri makanan yang kompetitif sehingga mendorongnya membuka cawangan kedua pada Julai lalu.
Berhenti jadi doktor
Dong berkata dia sering terfikir untuk berhenti kerja ketika masih bergelar doktor.
Namun, selepas memulakan perniagaan tersebut, dia mengakui rasa sangat gembira walaupun sibuk dan penat menguruskan kedainya.
Malah, dia langsung tidak terfikir untuk berhenti menjalankan perniagaan berkenaan.

Tamat pengajian pada 1999
Dong menamatkan pengajian di Wuhan University School of Medicine pada 1999 sebelum memulakan kerjaya sebagai pakar sakit puan di Shenzhen.
Beberapa tahun kemudian, dia kembali ke Wuhan untuk membantu ibunya menguruskan sebuah klinik swasta.
Selepas ibunya bersara, mereka menutup klinik tersebut dan kembali ke kampung halaman di Tianmen. Ketika itu, Dong memegang jawatan sebagai doktor serta wakil sah sebuah hospital komuniti kecil.
“Sebagai doktor, saya berdepan tekanan mental yang agak besar.
“Selain merawat pesakit, saya juga perlu menggunakan banyak tenaga untuk menguruskan pelbagai urusan bukan perubatan seperti berdepan dengan pemeriksaan kerap daripada pelbagai agensi kerajaan.
“Umum mengetahui bahawa hubungan antara pihak hospital dan pesakit di China sering tegang. Sekiranya berlaku pertikaian perubatan, saya perlu menanggung tanggungjawab sepenuhnya kerana saya merupakan wakil sah hospital,” kata Dong.
Berbeza dengan tugas lamanya, Dong berkata dia kini tidak lagi mengalami tekanan psikologi seperti dahulu, walaupun bekerja lebih 10 jam sehari.
Minatnya terhadap perniagaan pau mula tercetus pada 2023 selepas mendapat inspirasi daripada seorang rakannya yang keluarganya memiliki kedai seumpama itu.
Pada mulanya, Dong melabur dalam sebuah kedai pau. Namun, apabila tukang masaknya tiba-tiba meletak jawatan, dia mengambil keputusan untuk mempelajari sendiri cara membuat pau.
Dia menguasai kemahiran tersebut dengan pantas dan mula menikmati proses membuat pau.

Keluarga tidak setuju
Akhirnya, Dong mengambil keputusan untuk meninggalkan kerjaya dalam bidang perubatan bagi memberikan sepenuh perhatian terhadap operasi kedai berkenaan.
Pada awalnya, keluarganya membantah keputusan tersebut kerana profesion doktor secara tradisinya dianggap sebagai satu kerjaya yang baik dan dihormati.
“Saya hampir berusia 50 tahun dan sudah melalui pelbagai pengalaman dalam hidup. Saya tidak peduli apa yang orang lain fikir tentang saya. Saya cuma mahu menjalani kehidupan yang saya sukai dan hidup untuk diri sendiri,” jelasnya.
Lama-kelamaan, ibu dan abangnya mula menyokong keputusannya, malah sesekali turut membantu di kedai.
“Tiada satu jawapan mutlak dalam kehidupan. Tidak pernah terlambat untuk melakukan perubahan.
“Saya berharap dapat terus mengusahakan kedai pau ini sehingga saya tidak lagi mampu bergerak,” ujarnya.
Dong merupakan sebahagian daripada trend yang semakin ketara dalam kalangan pengamal perubatan yang meninggalkan kerjaya mereka untuk menceburi pekerjaan yang mungkin dianggap kurang berprestij oleh sesetengah orang.

