Seekor harimau bintang dilaporkan telah ‘menerkam’ seorang penunggang basikal di lebuh raya berhampiran Taman Negara Kaziranga, Assam India.
Kejadian mengejutkan itu sempat dirakamkan oleh kamera litar tertutup. Rakaman tersebut memaparkan seorang penunggang basikal yang sedang mengayuh basikalnya sebelum secara tiba-tiba diterkam oleh binatang yang muncul dari arah hutan.
Haiwan itu dikatakan mungkin beranggapan bahawa lelaki tersebut merupakan mangsanya semasa menerkam dan menjatuhkan lelaki berkenaan.
Video itu jelas menunjukkan penunggang basikal tersebut terus hilang imbangan dan terjatuh dari basikal apabila terkejut dengan terkaman harimau bintang berkenaan.
Harimau bintang itu dilihat terus lari ke dalam hutan. Penunggang basikal itu dan beberapa kereta lain yang melalui laluan tersebut turut memberhentikan kenderaan mereka seketika selepas menyaksikan serangan itu.
Lelaki yang diserang itu juga kelihatan berada dalam keadaan baik dan tidak cedera.
Dia mengangkat basikalnya dengan cepat dan mula mengayuh. Lelaki itu juga dapat dilihat melihat semula ke arah belakang bagi memastikan haiwan berkenaan tidak mengikutinya lagi.
Video itu dikongsi di Twitter oleh pegawai IFS Parveen Kaswan, yang berkata serangan itu berlaku pada Januari lalu dan dirakamkan pada kamera yang dipasang oleh pihak berkuasa di Taman Negara Kaziranga.
Kaswan berkata, “harimau bintang itu cuba menyeberangi lebuh raya. Namun, kedua-duanya bertuah.”
Menurut Kaswan juga, harimau bintang adalah “spesies yang sangat mudah disesuaikan.”
“Mereka tinggal di ladang, tanaman tebu, kebun teh malah di bandar, bukit dan hutan. Kadang-kadang kemunculan mereka itu selamat tetapi banyak konflik akan timbul,” tulisnya.
Konflik di antara harimau bintang dengan manusia semakin meningkat sejak beberapa tahun kebelakangan ini disebabkan beberapa kejadian di mana haiwan pemangsa tersebut cuba untuk menyerang manusia.
Populasi mangsa yang semakin berkurangan dan kehilangan habitat asal telah menyebabkan harimau bintang itu sesat ke penempatan manusia dan telah menimbulkan konflik antara haiwan tersebut dengan kehidupan manusia.
Sumber: Gulftoday
Baca: Sambil Beli Buku Pun Boleh Bersedekah, Ini Cara Nak Beli Buku Dengan Rebat 10% Ramadan Ini