Siakap Keli
Dr. Lim Boo Liat
Kredit: Mashable.SEA

Google Papar ‘Doodle’ Kartun Dr. Lim Boo Liat Pada Enjin Carian Sebagai Tanda Penghormatan

Doodle di papan muka google pada hari ini merupakan sebuah tanda penghormatan bagi Dr.Lim Boo Liat, ahli zoologi Malaysia yang terkenal dalam kepelbagaian biologi Malaysia.

Beliau merupakan individu utama yang membantu memulakan pembukaan zoo negara Malaysia dan telah menulis lebih daripada 300 penerbitan saintifik mengenai mamalia dan parasitologi.

Pada tahun 2003 yang lalu, bersamaan tarikh hari ini, Dr.Lim telah menjadi individu pertama di Asia Tenggara dan individu yang keempat dalam Asia yang telah dianugerahkan degnan Keahlian Kehormat kepada American Society of Mamalogists.

Beliau menerima pendidikan tinggi di sekolah menengah di Klang, Selangor. Pada usianya yang muda itu, dia kerap mengunjungi taman sekolah untuk memerhati kehidupan haiwan kecil dan serangga.

Sewaktu beliau berusia 16 tahun, tragedi Perang Dunia II telah menghentam Tanah Melayu pada ketika itu. Beliau terpaksa mengorbankan pengajiannya untuk menyara keluarga.

Pada tahun 1947, selepas perang berlaku, beliau telah memohon kerja sementara sebagai pembantu makmal di Institusi Penyelidikan Perubatan (IMR)

Pada tahun 1952, berkat usahanya yang gigih, beliau telah dinaikkan pangkat sebagai Pembantu Makmal tetap dan telah terlibat dengan beberapa ekspedisi saintifik.

Dr. Lim juga telah menjalankan penyelidikan serta menghadiri persidangan mengenai kesan parasit terhadap tingkah laku hidupan liar.

Semenjak 1955 sehingga 1969, beliau telah menerbitkan lebih daripada 80 kertas kajian saintifik mengenai haiwan vertebrata malah diminta untuk mengetuai Bahagian Ekologi Perubatan yang baru diasaskan di IMR, tempat beliau bekerja.

Ekoran potensi dan kepakarannya yang menyerlah dalam bidang itu, beberapa profesor dari universiti Eropah telah memberi jalan untuknya melanjutkan pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana meskipun tidak memiliki pendidikan yang formal sewaktu muda.

Difahamkan, Dr. Lim tidak menerima sebarang Ijazah Sarjana Muda sebelum menerima tajaan untuk melanjutkan pengajian ke Universiti Aberdeen di Scotland.

Beliau telah pulang ke Malaysia pada tahun 1972 dan berkhidmat di Bahagian Ekologi Perubatan sebagai ahli zoologi sepenuhnya.

Dr. Lim juga menerima ijazah tertinggi, PhD dalam Zoologi di Universiti Sains Malaysia pada tahun 1977 dan telah dijemput untuk membantu dalam Unit Penyelidikan Kawalan Biologi Vektor di Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Sumbangan beliau dalam bidang zoologi dan biodiversiti telah memberikan inspirasi kepada saintis baharu di Malaysia.

Perjalanannya yang bermula sebagai pembantu makmal sementara kepada ahli kehormat American Society of Mammalogists merupakan bukti kepakarannya.

Beliau juga telah menerima Anugerah Merdeka pada tahun 2013 dan mempunyai beberapa spesies parasit dan haiwan yang dinamakan sempena namanya.

Sumber: Google

Nurfatihah Shahirah Azzuddin

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.