Harga ayam mentah dijangka akan naik sehingga RM11 sekilogram di pasaran bermula 1 Julai depan, lapor Astro Awani.
Menteri Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), Datuk Seri Ronald Kiandee berkata kenaikan harga itu dijangka akan berlaku berikutan kerajaan tidak lagi menguatkuasakan pelaksanaan harga siling RM8.90 seperti yang diperkenalkan Februari lalu.
Malah, pemberian subsidi RM1.40 yang diberi kepada penternak ayam di bawah Skim Kawalan Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM) juga telah ditarik balik.
“Harga ayam tentu sekali (naik dan) jika diapungkan (ia akan) lebih tinggi daripada RM8.90, ia akan ditentukan oleh pasaran bermula daripada 1 Julai ini.
“Yang pasti (harga) akan lebih tinggi daripada RM8.90, sama ada (berharga) RM10, RM11 ataupun lebih RM11, ia akan ditentukan dengan harga pasaran.
“Tentu sekali kerajaan memantau agar tidak ada elemen (mengambil lebihan untung) yang akan diambil oleh mana-mana (pihak),” tegas Ronald.
Dalam pada itu, beliau juga turut memberi jaminan kerajaan akan terus membantu rakyat terutama golongan berpendapatan rendah (B40) melalui subsidi yang akan disalurkan secara terus kepada kumpulan berkenaan.
“Kerajaan tidak akan biarkan rakyat untuk membeli harga yang lebih tinggi, sebab itu subsidi untuk (masa) akan datang ini akan dialihkan kepada kumpulan B40 (seperti), yang telah diumumkan oleh Perdana Menteri dua minggu lalu.
“Kementerian Kewangan dalam proses untuk menentukan jumlah subsidi yang akan dibagi kepada B40 dan bila diadakan (itu) akan ditentukan oleh Kementerian Kewangan tetapi saya yakin (ia) akan disalurkan bantuan ini sebelum 1 Julai akan datang,” katanya.
Menurutnya lagi, pihak industri penternakan ayam dalam usaha untuk mengembalikan semula kapasiti pengeluaran pada tahap maksimum iaitu sekitar 1.8 juta sehingga 2 juta ekor sehari.
Ia adalah untuk memastikan krisis atau masalah kekurangan bekalan ayam tidak berlaku lagi seperti sebelum ini.
Sumber: Astro Awani