Sejak awal Jun lalu langit telah dilatari dengan barisan ‘cahaya’ pada sekitar waktu subuh. Bagi yang belum tahu, ia sebenarnya adalah lima planet yang berada dalam keadaan selari.
Fenomena yang tidak pernah dilihat sejak 18 tahun lalu itu muncul mengikut urutan jarak mereka dari matahari.
Memetik laporan Daily Mail, pemerhati bintang di hemisfera utara telah berpeluang menyaksikan Utarid, Zuhrah, Marikh, Musytari dan Zuhal secara sejajar sejak awal bulan Jun.
Ketika itu, Utarid dipercayai berada dalam keadaan yang sangat samar dan hampir dengan ufuk, yang bermakna ia sukar untuk dilihat dengan mata kasar.
Bagaimanapun, ia akan berubah pada minggu ini apabila Utarid akan kelihatan lebih cerah daripada sebelumnya sekaligus memberi peluang terbaik kepada mereka yang bangun awal untuk melihat lima planet itu.
Difahamkan, ini adalah kali pertama lima planet tersebut dapat dilihat di langit sejak Disember 2004.
Lima planet itu akan bersinar secara selari kerana ia semua bergerak di atas satah sistem suria yang dikenali sebagai ekliptik.
Pun begitu, ia tidak akan berada berdekatan seperti yang dilihat kerana setiap planet berada berjuta-juta batu jauhnya di antara satu sama lain.

Menurut laporan, 24 Jun (Jumaat) ini menjadi salah satu hari yang terbaik untuk melihat lima planet itu apabila bulan sabit juga akan kelihatan antara Zuhrah dan Marikh.
Waktu kemuncak untuk melihatnya adalah selepas subuh dan ia akan berlangsung kira-kira sejam sebelum cahaya matahari muncul.
Sementara itu, pegawai astronomi awam di Muzium Diraja Greenwich, Dr Greg Brown berkata Zuhrah dan Musytari adalah yang paling mudah untuk dilihat berbanding tiga planet yang lain.
Dalam beberapa bulan yang akan datang, planet-planet tersebut akan kelihatan lebih jauh pada setiap pagi.
Sumber: Daily Mail
Baca: Sambil Beli Buku Pun Boleh Bersedekah, Ini Cara Nak Beli Buku Dengan Rebat 10% Ramadan Ini