Sekumpulan saintis mendapati bahawa adalah tidak mustahil untuk bernafas melalui punggung, lapor Daily Star.
Menerusi laporan di dalam jurnal Clinical and Translational Resource and Technology Insights, para saintis telah menjalankan beberapa eksperimen terhadap tikus dan babi berdasarkan metabolisme perlahan bagi penyu.
Dalam eksperimen itu, usus haiwan-haiwan tersebut akan digosok bagi menipiskan lapisan mukosa yang mengurangkan halangan kepada aliran darah.
Memetik laporan Daily Star, penyu dipercayai boleh bernafas melalui punggung dan mampu hidup ketika musim sejuk disebabkan mereka mempunyai lapisan tersebut.
Dalam pada itu, kesemua haiwan itu kemudiannya akan diletakkan di dalam ruang yang mempunyai kurang oksigen.
“Haiwan terkawal yang kekurangan pernafasan dan tidak menerima pengudaraan usus mati selepas kira-kira 11 minit.
“Haiwan yang menerima pengudaraan usus tanpa menggosok usus pula bertahan hampir dua kali ganda lebih lama, kira-kira 18 minit, menunjukkan pengambilan oksigen yang sedikit.
“Akhir sekali, 75% daripada haiwan yang telah digosok dan menerima oksigen bertekanan ke dalam rektum, bertahan selama sejam sepanjang eksperimen tersebut,” kata kumpulan saintis itu.
Menurut mereka, ia seolah-olah membuktikan bahawa tikus dan babi mampu bernafas jika berada dalam keadaan yang betul.
Menerusi penemuan itu, mereka kini percaya bahawa mamalia lain dan manusia juga boleh bertahan bernafas melalui punggung.
Bagaimanapun, mereka sedang mengkaji cara yang kurang berbahaya kepada manusia selain daripada menggosok usus iaitu melalui cecair yang kaya dengan oksigen seperti perfluorokarbon.
Sementara itu, ujian terhadap manusia masih belum dijalankan lagi dan tidak dapat dipastikan sama ada mereka ingin melakukannya atau tidak.
Sumber: Daily Star