Beberapa hari lalu tular satu video yang memaparkan satu kejadian bergaduh dipercayai melibatkan seorang peniaga dalam kejadian di kawasan peranginan Pantai Merdeka, Sungai Petani, Kedah.
Dalam kejadian tersebut, seorang remaja perempuan berusia 18 tahun dilaporkan telah cedera pada bahagian kening, lapor Kosmo.
Terbaru, Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata siasatan mendapati bahawa punca kejadian adalah disebabkan suspek tidak berpuas hati dengan keluarga mangsa berkaitan perniagaan yang diusahakan mereka di situ.
Menurut laporan Kosmo, suspek yang merupakan seorang peniaga wanita berusia 23 tahun bergelut dengan remaja terbabit sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan pada kening kanan.
Kecederaan itu berlaku kerana suspek dikatakan telah menyerang mangsa dengan menggunakan kunci kereta.
Kejadian tersebut dipercayai bermula ketika mangsa sedang membantu kakaknya berniaga barang mainan kanak-kanak di sebuah gerai di situ.
“Suspek yang merupakan seorang operator kilang sebelum itu menemui mangsa dan berlaku pertengkaran antara mereka.
“Mangsa dikatakan diserang menggunakan kunci kereta sehingga mengakibatkan kecederaan pada kening kanan selain mengadu sakit pada badan kerana terjatuh akibat ditolak suspek,” kata Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan.
Tambahnya lagi, orang ramai yang berada di kawasan itu berjaya meleraikan pergelutan dan mangsa telah dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) untuk mendapatkan rawatan.
Sumber: Kosmo
Baca: Sambil Beli Buku Pun Boleh Bersedekah, Ini Cara Nak Beli Buku Dengan Rebat 10% Ramadan Ini