NEW YORK – Bintang Hollywood terkenal, Amber Heard dipercayai sedang berbincang untuk menerbitkan sebuah buku yang disifatkannya sebagai buku ‘balas dendam’ berkisarkan biografi diri dan perbicaraannya setelah tewas dalam tuntutan saman fitnah ke atas bekas suaminya, Johnny Depp.
Menurut New York Post, pelakon Aquaman itu tidak takut kerana dakwanya dia sudah tidak memiliki apa-apa dan tidak akan mengalami kerugian di sebalik cerita yang akan dikongsikan itu.
Amber Heard difahamkan telah bersedia untuk menghadapi apa sahaja kemungkinan dan persepsi dari masyarakat sekiranya dia menerbitkan buku ‘balas dendam’ tersebut.
Menurut sumber, Amber akan mendedahkan segala kebenaran dan butiran mengenai kehidupan dirinya sebagai mangsa dalam isu penderaan rumah tangga.
Amber telah menganggap kerjayanya di Hollywood telah berakhir, jadi dia tidak perlu risau mengenai pandangan orang dan menceritakan hal yang sebenar.
Menurutnya, buku tersebut diterbitkan sebagai sebuah cara untuk membalas dendam terhadap tindakan Johnny Depp.
Tambahnya lagi, perbincangan penulisan dan penerbitan buku itu telah bermula dan dia berasa teruja menanti saat buku itu akan diterbitkan.
Walau bagaimanapun, Dror Bikel yang merupakan seorang pengarang buku turut memberikan amaran kepada Amber bahawa dia berkemungkinan besar akan dikenakan saman fitnah dan bakal dihadapkan ke mahkamah sekali lagi.
Bikel, turut menasihati Amber agar perlu berhati-hati dalam setiap bait penulisannya agar kejadian yang sama tidak berulang lagi.
Tambahan pula, bilangan penyokong yang menyokong Johnny Depp lebih ramai berbanding dengannya. Oleh itu, Amber perlu cakna dan berhati-hati dalam pemilihan perkataan untuk mendeskripsi bekas suaminya itu.
Sewaktu perbicaraan lalu, seorang juri mendeskripsi air mata Amber sebagai ‘air mata buaya’ yang membawa maksud air mata palsu daripada orang yang munafik.
Sumber: New York Post
Baca: Sambil Beli Buku Pun Boleh Bersedekah, Ini Cara Nak Beli Buku Dengan Rebat 10% Ramadan Ini