Siakap Keli
Sumber: Google

Bayi Dilapor Maut, Dibelasah & Dibunuh Monyet Ketika Tengah Menyusu

Seorang bayi dilapor maut selepas dibelasah dan dibunuh oleh sekumpulan monyet ketika mangsa sedang menyusu, dalam kejadian yang berlaku di Tanzania.

Difahamkan kejadian itu berlaku ketika, Shayima Said sedang menyusukan mangsa di luar rumah, di Kampung Mwamgongo, Kigoma. Menurut laporan akhbar, ketika dia kejadian mereka berdua diserang oleh sekumpulan monyet yang menceroboh kawasan perumahan tersebut.

Ketua Polis Wilayah Kigoma menjelaskan bahawa ibu bayi tersebut menjerit untuk meminta pertolongan daripada orang ramai, sebelum penduduk kampung hadir menghulurkan bantuan. Mereka yang tiba di rumah tersebut bertindak menghalau kumpulan monyet itu dan berusaha untuk merampas bayi malang tersebut.

Malangnya, usaha tersebut dilaporkan gagal dan bayi berkenaan dilarikan oleh kumpulan monyet itu.

Salah satu daripada monyet itu dimaklumkan telah memegang bayi itu dengan kuat. Ia memaksa penduduk kampung menggunakan kekerasan bagi merebut semula bayi tersebut. Bagaimanapun, ketika mereka berjaya mendapatkan semula bayi malang itu, mangsa dilaporkan mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala dan leher.

Kemudian, bayi tersebut dikejarkan ke hospital yang berdekatan untuk menerima rawatan, namun nasib tidak menyebalahi keluarga tersebut apabila bayi berkenaan dilaporkan meninggal dunia akibat kecederaan parah yang dialaminya.

Setakat ini, pihak berkuasa bagaimanapun tidak menyatakan secara jelas spesis monyet yang terlibat dalam serangan tersebut. Namun, Kampung Mwamgongo yang terletak di bahagian Barat Tanzania dan berkongsi sempadan dengan Taman Negara Gombe, diketahui merupakan sebuah rizab alam semulajadi yang terkenal dengan keluarga cimpanzi.

Disebabkan faktor lokasi tersebut, kejadian pencerobohan dan serangan haiwan terhadap penduduk di kampung berkenaan bukanlah perkara yang luar biasa.

Terdahulu, dalam laporan lain sekumpulan monyet juga dilapor telah membunuh seorang kanak-kanak berusia dua bulan di Baghpat, India dengan menenggelamkannya di dalam tangki air.

Akibat perubahan cuaca yang melampau, monyet dikatakan akan menjadi lebih terdesak untuk mendapatkan air, memaksa kumpulan haiwan itu untuk menerokai kawasan baharu seperti kejiranan manusia dan merampas sumber yang ada.

Sumber: Newsweek

Nurul Nazihah