OKLAHOMA – Seorang pekerja di sebuah restoran makanan segera telah berjaya ditahan polis selepas sebungkus dadah jenis Methamphetamine ditemui dalam pesanan pelanggannya.
Memetik Daily Mail, lelaki tersebut merupakan seorang pekerja di sebuah restoran makanan segera yang dikenali sebagai Carl’s Jr di Skiatook.
Difahamkan, pada Isnin lalu, sewaktu sedang bertugas, dia secara tidak sengaja telah meletakkan bungkusan dadah itu di dalam pesanan seorang pelanggan.
Dadah jenis methamphetamine yang dianggarkan seberat 4.3 gram itu telah diletakkan di dalam sebuah beg bungkusan yang berisi burger dan kentang goreng milik pelanggan yang salah.
Ekoran dari itu, lelaki tersebut telah didakwa atas tuduhan memiliki dan mengedar bahan terkawal dalam kawasan kurang 2,000 kaki (1KM) dari sekolah.
Jabatan Polis Skiatook menyatakan bahawa lelaki itu telah mengakui perbuatan jenayahnya selepas pelanggan tersebut menghantar bukti gambar pesanan yang mengandungi dadah tersebut kepada pihak polis dan pengurus restoran tersebut.
“Ya, dadah itu milik saya. Saya telah membuat kesilapan. Saya hanya cuba untuk membuat wang tambahan sehinggalah saya bertindak memasukkan dadah itu ke dalam beg yang salah,” ujarnya kepada polis Skiatook.
“Sebenarnya, ia merupakan cara mengedar dadah yang agak unik. Belum pernah saya dengar seseorang berbuat sedemikian sebelum ini. Namun, cara tersebut gagal menjadi padanya,” ujar polis awam.
Sewaktu penahanan, lelaki itu dikatakan merungut dan menyatakan bahawa perkara tersebut merupakan tindakan yang paling bodoh pernah dilakukannya.
Restoran Carl’s Jr juga telah memberikan pelanggan tersebut pesanan yang baharu untuk dibawa pulang sebagai ganti.
Polis Skiatook telah menasihati orang awam agar memeriksa makanan terlebih dahulu sebelum memakannya.
“Sekiranya anda ingin menjamu selera di luar, sila periksa makanan terlebih dahulu sebelum makan atau beri kepada anak kecil,” ujar polis tempatan dalam satu kenyataan media.
“Jika sesiapa di antara anda menghadapi situasi sebegini, sila hubungi pihak polis dengan kadar sedera!”
Pegawai polis yang membawa bungkusan dadah tersebut untuk diuji kaji kemudiannya mengesahkan bahawa kristal di dalamnya mengandungi dadah jenis methamphetamine.
Tidak dapat dipastikan sama ada lelaki itu akan dilepaskan dengan jaminan atau bakal hadir ke mahkamah untuk didakwa dalam masa terdekat.
Sumber: Daily Mail