Tidak tersenarai pada kempen kelayakan Piala Asia 2023, pemain naturalisasi negara, Liridon Krasniqi (Mat Don) meluahkan bahawa dia merasa sedih dan menangis ketika mengetahui mengenainya.
Memetik laporan Utusan, pemain yang mesra dipanggil Mat Don itu bagaimanapun tetap yakin bahawa peluang untuknya beraksi dalam skuad Harimau Malaya masih ada.
Menerusi kenyataan di Instagram Story miliknya, Mat Don berkata harapan untuk menyarung jersi Harimau Malaya tidak pernah pudar.
“Bila jurulatih beritahu saya berita itu (tidak tersenarai dalam skuad akhir), saya menangis dan sedih kerana bagi saya semua mengenai kemenangan dan mencipta sejarah, terutama untuk negara yang saya sayang dan saya sanggup mati untuknya.
“Saya sudah mengalami sedikit kecederaan semasa dalam kem dan tidak dapat mempamerkan prestasi sebenar, jadi kami membuat keputusan untuk pulih dahulu kemudian bangkit semula.
“Saya berusaha setiap hari tetapi ia tidak berkesan dengan semua kesakitan ini tiada siapa yang tahu. Saya mengorbankan kesihatan saya untuk memberikan seluruh negara apa yang mereka harapkan, tetapi malangnya saya tidak dapat,” katanya.
Menurutnya lagi, dia sayang pada Malaysia dan juga rakan sepasukan.

“Ini bukan penamat era Matdon. Saya kenal diri saya, saya tahu apa yang saya mampu lakukan. Saya sayang Malaysia dan saya sayang rakan sepasukan.
“Saya tidak pernah melihat begitu banyak perasaan sayang dan mesej yang indah melebihi 20 ribu mesej yang positif, ini memberi saya banyak harapan dan gembira untuk kembali lebih kuat,” tulisnya.
Dalam perkongsian itu, dia juga menjelaskan bahawa kecederaan yang dialaminya ketika menyertai kem latihan pusat Harimau Malaya mungkin menjadi faktor yang menyebabkan tidak dipilih pengendali skuad kebangsaan, Kim Pan Gon.
Dedahnya, kecederaan tersebut telah merencatkan aksinya dan tidak dapat mempamerkan prestasi sebenar pada ketika itu.
Terdahulu, pemain berusia 30 tahun itu dipanggil untuk menyertai latihan pusat skuad kebangsaan tetapi digugurkan bersama enam pemain lain sebelum kempen kelayakan Piala Asia 2023.
BACA: Penantian 42 Tahun Berakhir, Malaysia Layak Ke Piala Asia 2023
Sumber: Utusan