Siakap Keli
bayi berusia sebulan maut
Gambar hiasan: Metro UK

Bayi Sebulan Maut Selepas Diculik Sekumpulan Monyet Ketika Menyusu

Seorang bayi berusia sebulan dilapor maut selepas diculik oleh sekumpulan monyet ketika menyusu di luar rumah dalam kejadian di Tanzania baru-baru ini, lapor Metro UK.

Kejadian itu berlaku ketika sekumpulan monyet menceroboh sebuah rumah di Kampung Mwamgongo di Kigoma yang bersempadan dengan Taman Negara Gombe pada Sabtu.

Difahamkan, ketika kejadian kira-kira pukul 3 petang itu, ibu mangsa, Shayima Said sedang duduk di luar rumahnya sambil menyusukan mangsa, Luhaiba Said.

Bagaimanapun tanpa diduga, sekumpulan monyet tiba-tiba muncul menceroboh masuk ke ruang rumah mereka sebelum merampas bayi itu daripada ibunya.

Menurut Komander Polis Wilayah Kigoma, James Manyama ketika memberitahu The Citizen, “Kanak-kanak itu bersama ibunya di luar rumah mereka sewaktu kawanan monyet itu menyerbu rumah dan membawanya,”

Kejadian itu membuatkan Shayima menjerit meminta tolong hingga mengakibatkan penduduk kampung segera ke rumahnya untuk mengambil bayi lelaki itu kembali.

Bagaimanapun, penduduk terpaksa menggunakan kekerasan untuk mendapatkan semula Luhaiba yang berada dalam ‘pegangan’ salah seekor monyet.

“Apabila penduduk segera datang untuk membantu, ia sudah terlambat kerana bayi itu sudah berada pada tangan monyet berkenaan.

“Sewaktu mengambilnya secara paksa, bayi itu cedera pada bahagian kepala dan leher,” katanya, memetik Metro UK.

Walaupun penduduk kampung berjaya mendapatkan semula Luhaiba, malangnya bayi terbabit disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital berhampiran.

Sementara itu, tambah Manyama, kejadian haiwan menceroboh Kampung Mwamgongo adalah perkara biasa kerana kampung tersebut berkongsi sempadan dengan Taman Negara Gombe.

Buat masa ini, asal-usul kawanan monyet itu masih belum dikenal pasti namun ia dipercayai berasal dari taman negara berkenaan.

Sumber: Metro UK

Iqbal Yasir

A wise man once said "Siuuuuu"

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.