Dunia yang kita lihat pada hari ini kian pesat membangun seiring dengan teknologi yang semakin hari, semakin canggih mengikut peredaran waktu. Pada masa yang sama, data peribadi juga menjadi suatu komoditi yang lebih berharga dan nilainya setaraf jika dibandingkan dengan nilai petroleum (Data is the new oil of the digital era).
Disebabkan nilai dan permintaan yang tinggi terhadap data peribadi, ada pihak yang tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan mengaut keuntungan demi kepentingan mereka sendiri, antaranya scammer. Selaras dengan kecanggihan teknologi, scammer juga makin maju dengan pelbagai helah dan penipuan untuk mengaut keuntungan daripada kita. Meskipun telah ribuan laporan dan berita daripada mangsa, namun hingga kini perbuatan mereka masih berleluasa.
Tahukah anda bahawa sikap kita sendiri boleh menjadi punca kebocoran data peribadi tanpa kita sedar? Terdapat beberapa kesalahan kita yang kelihatan kecil dan dianggap remeh, rupanya berbahaya kepada diri dan juga ahli keluarga yang lain. Hari ini, suka untuk Siakap Keli kongsikan lima perkara yang boleh menyumbang kepada kebocoran data peribadi kita, namun sering dilakukan dalam kehidupan harian.
1. Guna wifi awam untuk urusan jual beli dan perbankan

Tindakan ini membolehkan para hacker memintas talian Internet yang sedang anda gunakan dan mencuri data log masuk yang anda gunakan ketika itu. Oleh itu, jangan sesekali gunakan wifi awam untuk melakukan urusan jual beli dan mengakses apa-apa talian yang boleh menghubungkan dengan akaun seperti online banking yang boleh menyebabkan masalah dan kerugian besar kepada kita kelak.
2. Dedahkan tiket penerbangan dan pas masuk (boarding pass)
Dalam keterujaan nak pergi melancong, ada antara kita yang suka berkongsi perjalanan momen indah itu dengan orang lain dan beranggapan bahawa dengan hanya mendedahkan tiket penerbangan dan pas masuk (boarding pass) tidak akan membahayakan keselamatan. Namun, tanpa kita sedar banyak data peribadi yang tertera di atas tiket dan boarding pass tersebut boleh digunakan oleh para scammer untuk melaksanakan helah mereka bagi mendapatkan keuntungan.
3. Perkongsian nama penuh, tempat dan tarikh lahir
Selain itu, nama penuh kita dan ibu kita serta tempat dan tarikh lahir sering kita kongsikan antaranya di media sosial, walhal data-data ini sangat sensitif dan berkait rapat dengan urusan perbankan.
4. Perkongsian rutin harian, lokasi sekolah dan gambar anak
Dalam pada itu, gambar juga merupakan satu bentuk data peribadi. Perkongsian mengenai rutin harian, lokasi sekolah serta gambar anak-anak kita di media sosial mungkin diperhatikan oleh mereka (penjenayah) dan data-data ini boleh digunakan untuk tujuan mengugut atau menyamar bagi melakukan jenayah siber, fidofilia, penculikan dan sebagainya.
5. WhatsApp/Telegram group

Dalam realiti dunia hari ini, kita tidak boleh lari daripada menjadi ahli-ahli WhatsApp/Telegram group di tempat kerja, komuniti, keluarga, sanak-saudara, rakan taulan dan sebagainya kerana aplikasi ini membolehkan maklumat dikongsikan dengan cepat dan mudah. Kebanyakan kita juga menyertai WhatsApp/Telegram group tersebut tanpa kebenaran (consent) kita terlebih dahulu kerana kita sendiri tidak membuat penetapan sekuriti yang disediakan oleh aplikasi. Kita juga mungkin tidak kenal dengan semua ahli dalam group tersebut. Makanya, jika terselit seorang scammer dalam group berkenaan, dengan mudah dia memperoleh berpuluh-puluh, beratus-ratus atau beribu-ribu nombor telefon mudah alih yang boleh dijadikan mangsa penipuan.
Mana satu maklumat yang paling dikehendaki oleh scammer?
Menurut Ketua Pengarah, Jabatan Perlindungan Data Peribadi, Tuan Mazmalek Bin Mohamad, nombor telefon bimbit merupakan maklumat yang paling dikehendaki oleh para scammer. Mana tidaknya, semua data termasuk dengan urusan bank semua ‘linked’ dengan telefon bimbit.

“Dulu orang kata nombor akaun. Nombor akaun bank tidak memberi sebarang makna kepada scammer jika kita tidak mendedahkan kata laluan, pin atau nombor TAC, begitu juga dengan kad pengenalan.
“Mungkin ada orang bangga jika mereka mempunyai 20 WhatsApp group yang dianggotai 50 orang setiap group, tanpa menyedari anda telah mendedahkan nombor telefon bimbit anda kepada lebih kurang 1000 individu yang mungkin ada kenal dan mungkin tidak. Tidakkah anda rasa terancam dengan hal tersebut?” jelasnya.
Menerusi nombor telefon bimbit, scammer boleh menghubungi dan menipu kita dengan pelbagai helah dan tipu daya mereka. Melalui telefon mudah alih juga, mereka boleh menghantar link phishing (laman web palsu yang menyerupai laman web sebenar) untuk mendapatkan ID dan kata laluan dan seterusnya menggodam data peribadi dan akaun bank kita.
Oleh itu, pada zaman yang serba serbi terbuka ini, kita jangan terlalu percaya dengan orang yang berada di sekeliling, sama ada kenal atau pun tidak. Malah, ada juga scammer yang mampu menyamar menggunakan identiti yang kita kenal sama ada ahli keluarga mahupun rakan-rakan, untuk memperdayakan kita.
Lebih teruk lagi jika maklumat peribadi kita digunakan oleh mereka untuk memperdaya rakan kita atau mungkin mereka gunakan untuk melakukan jenayah.
Apa Perlu Buat Jika Data Peribadi kita Disalah Guna?
Jadi, apa yang perlu kita buat jika data peribadi kita telah disalah guna?
Bagi penyalahgunaan data peribadi dalam transaksi komersial, anda perlu melaporkan hal tersebut kepada JPDP menerusi Sistem Perlindungan Data Peribadi (SPDP), https://daftar.pdp.gov.my.
Bagi penyalahgunaan data peribadi yang melibatkan ugutan dan scam, anda perlu melaporkannya kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM), dan jika yang melibatkan buli siber dan berita palsu pula, anda perlu membuat laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).
Akhir sekali, penyalahgunaan data peribadi di bawah millikan Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri, anda perlu rujuk kepada agensi kerajaan yang berkenaan dan Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA).
Sama-sama kita lindungi data peribadi masing-masing demi keselamatan dan kesejahteraan hidup bersama.