Siakap Keli
Gambar: Bernama

Bayaran BKM Fasa 2 Akan Dilakukan Secara Berperingkat Mulai Hari Ini – Tengku Zafrul

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz memaklumkan bahawa pembayaran bagi individu yang layak mendapatkan Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) Fasa 2 akan dilakukan secara berperingkat mulai 27 Jun (hari ini).

Menurutnya, semakan status pembayaran juga boleh dibuat mulai hari ini melalui pautan https://bkm.hasil.gov.my.

“Seperti mana diumumkan Perdana Menteri baru-baru ini, BKM Fasa 2 telah ditambah baik dengan bantuan tunai tambahan bernilai RM630 juta, dengan jumlah peruntukan keseluruhan BKM sebanyak RM8.0 bilion.

“BKM Fasa 2 dengan peruntukan sebanyak RM1.74 bilion akan memanfaatkan 4.0 juta isi rumah, 1.2 juta warga emas (bujang/tiada pasangan) dan 3.4 juta individu bujang,” katanya menerusi satu kenyataan media.

Jelasnya lagi, BKM adalah bantuan tunai langsung tertinggi dalam sejarah berbanding Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dan Bantuan Sara Hidup (BSH).

“Sebagai perbandingan, kadar maksimum BKM adalah RM 2,600 berbanding BR1M (RM1,200) dan BSH (RM1,480).

“Ini adalah peningkatan bantuan sebanyak 120% sejak inisiatif bantuan tunai langsung mula diperkenalkan,” katanya.

Tambahnya lagi, peningkatan tersebut adalah kerana had kelayakan untuk menerima BKM telah dinaikkan daripada berpendapatan RM4,000 ke bawah sebulan untuk BSH kepada RM5,000 ke bawah sebulan untuk BKM.

Hal ini bermakna lebih ramai Keluarga Malaysia layak untuk menerima bantuan termasuklah sebahagian M40 dan bukan terhad kepada golongan B40 sahaja seperti untuk inisiatif bantuan tunai langsung sebelum ini.

“BKM dikenali sebagai bantuan kepada golongan B40, namun hakikatnya BKM kini memanfaatkan 12.6 juta individu, iaitu bersamaan dengan 60 peratus daripada rakyat dewasa di Malaysia,” ujarnya.

BACA: RM100 Untuk Isi Rumah, RM50 Untuk Bujang Disalur Melalui BKM Bermula 27 Jun Ini – PM

Sumber: MOFmalaysia

Sofea

There's always another side to every story