Siakap Keli
pukul bayi sehingga mati
Gambar: coconuts

Enggan Berhenti Menangis, Wanita Dipercayai Pukul Bayi 5 Bulan Sehingga Mati Sebelum Melancong

Wanita pukul bayi sehingga mati kerana anak enggan berhenti menangis

SURABAYA, INDONESIA – Penduduk di Daerah Wonocolo, Kota Surabaya di Jawa Timur digemparkan dengan kejadian pembunuhan yang melibatkan bayi berusia lima bulan, lapor laman berita Kompas semalam.

Peristiwa tragis ini dipercayai dilakukan sendiri oleh ibu kepada bayi tersebut. Kejadian ini membuatkan bayi berusia lima bulan itu dilaporkan meninggal di dalam rumah suspek.

Menurut portal Coconuts, suspek telah memukul anaknya sehingga mati kerana mangsa enggan berhenti menangis.

Dia kemudiannya merahsiakan kematian anaknya itu daripada pengetahuan suami sebelum keluar melancong bersama keluarga.

Wanita tersebut dilaporkan akan didakwa dengan Perkara 80 perenggan 3 Akta Perlindungan Kanak-Kanak dan Perkara 44 perenggan 3 dan perenggan 4 Undang-undang Penghapusan Keganasan Rumah Tangga.

Jika didapati bersalah, suspek bakal berhadapan dengan hukuman penjara selama 20 tahun.

Ketua Polis bahagian Wonocolo, Kompol Roycke Hendrik Fransisco Betaubun berkata, hasil bedah siasat ke atas mayat mangsa mendapati terdapat beberapa kesan luka pada badan mangsa.

“Ada cecair di belakang kepala mangsa,” kata Roycke kepada wartawan pada petang Ahad lalu.

Polis berkata, mereka akan meneruskan siasatan kes itu termasuk dengan menyiasat suami suspek. Peristiwa terjadinya pembunuhan ini juga telah dilaporkan nenek mangsa kepada pihak polis untuk melakukan siasatan.

Suspek juga memberitahu ibunya bahawa dia akan mengadakan trip bersama syarikat ke Yogyakarta dan dia akan menguruskan mayat itu sekembalinya dia dari sana. Suami suspek dan anak sulung mereka yang berumur satu tahun turut ikut serta dalam perjalanan itu.

Nenek mangsa yang juga ibu kepada suspek, pada Sabtu yang lalu memberitahu jirannya bahawa cucunya telah meninggal dunia dan mula mengeluarkan bau busuk.

Kejadian itu kemudiannya dilaporkan kepada pihak polis. Nenek mangsa dilaporkan hanya memaklumkan berkenaan keadaan cucunya sahaja kerana wanita tua itu telah diugut bunuh oleh anaknya iaitu suspek sendiri.

“Saya diugut bunuh jika melaporkan kematian cucu saya kepada penduduk dan pihak berkuasa,” katanya.

Dia turut mengaku bahawa dia mengesyaki cucunya telah meninggal dunia pada Khamis pagi, 23 Jun yang lalu.

Ketika itu dia juga telah pun mendapati keadaan badan cucunya sejuk. Bagaimanapun, suspek tidak mengendahkan apa yang telah terjadi kepada anaknya kerana pada pagi Khamis itu dia telah keluar ke Yogyakarta bersama suaminya.

Polis berkata suspek mungkin berdepan dengan hukuman penjara sehingga 15 tahun kerana membunuh bayi, sementara menunggu pertuduhan tambahan.

Siasatan setakat ini mendedahkan bahawa suaminya, yang sering pergi bekerja, tidak terlibat semasa pembunuhan itu berlaku dan juga tidak mengetahui jenayah tersebut semasa mereka dalam perjalanan ke Yogyakarta.

Dalam pengakuan rasminya, suspek berkata dia sering melampiaskan kemarahannya terhadap bayi itu selepas dia bergaduh dengan suaminya. Bayi itu juga dilaporkan mengalami kekurangan zat makanan dan mengalami pertumbuhan yang terbantut.

Sumber: regional.kompas.com, coconuts.co

Baca: Sambil Beli Buku Pun Boleh Bersedekah, Ini Cara Nak Beli Buku Dengan Rebat 10%

Nurlizah Khazani

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.