Siakap Keli
Gambar: Daily Mail

Hidangan Kaki Katak Laku ‘Keras’ Di Perancis & Belgium, Populasi Katak Di Negara Pengeluar Terancam

Dalam satu kajian menyatakan populasi katak di beberapa buah negara pengeluar kian terancam, antaranya berpunca daripada hidangan kaki katak yang menerima permintaan tinggi dalam kalangan penduduk di negara Eropah, khususnya Belgium dan Perancis, lapor Daily Mail.

Difahamkan, Kesatuan Eropah (EU) mengimport kira-kira 4,070 tan kaki katak setiap tahun iaitu dengan anggaran 81 hingga 200 juta katak yang sebahagian besarnya ditangkap dari kawasan liar.

Katak berkaki besar seperti spesies katak pemakan ketam (Fejervarya cancrivora) dan katak Asia Timur (Hoplobatrachus rugulosus) sangat digemari dalam kalangan pelanggan.

Menurut ahli Pro Wildlife menjelaskan kebanyakan kaki katak dipotong menggunakan kapak dan gunting tanpa ubat bius. Kemudian, kaki katak itu dibekukan untuk dieksort dan bahagian atas katak pula dibuang.

Negara Pembekal Kaki Katak

Difahamkan, sebanyak 74 peratus bekalan kaki katak datang dari Indonesia, 4 peratus dari Turki dan 0.7 peratus dari Albania.

Menurut kumpulan Pro Wildlife dari Jerman, populasi katak di negara pembekal seperti Indonesia, Turki dan Albania semakin berkurangan.

Pengasasnya, Dr. Sandra Altherr menyifatkan ia perkara ini memberi kesan terhadap perlindungan spesies.

Di Indonesia, Katak Jawa atau Limnonectes macrodon kini semakin hilang akibat diperdagangkan secara meluas. Tambahan pula, saintis memberi amaran bahawa katak yang dimport dari Turki boleh pupus menjelang 2032 sekiranya penangkapan secara besar-besaran berterusan.

Gambar: Daily Mail

Manakala, Albania yang merupakan pembekal katak keempat terbesar di Kesatuan Eropah juga menghadapi kes yang sama iaitu jenis katak air Scutari atau nama saintifiknya Pelophylax shqipericus.

Sebelum ini, India dan Bangladesh pada mulanya menghantar kaki katak ke Eropah sejak 1980-an namun Indonesia telah mengambil alih sebagai pembekal terbesar sejak 1990-an lapor Dr. Altherr lagi.

Belgium Negara Pegimport Terbesar Kaki Katak

Gambar: Daily Mail

Sementara itu, Belgium menjadi negara pengimport terbesar kaki katak di dunia iaitu sebanyak 70 peratus daripada pasaran EU diikuti oleh Perancis sebanyak 17 peratus,  Belanda 7 peratus, Itali 4 peratus dan Sepanyol 2 peratus.

Pada masa yang sama, negara seperti United Kingdom, Croatia, Republik Czech, Poland, Romania dan Jerman turut mengimport kaki katak namun dalam jumlah yang lebih rendah.

Bagaimanapun, laporan Deadly Dish Pro Wildlife mendedahkan bahawa sebahagian hidangan itu telah dieksport semula ke negara-negara eropah yang lain.

Menurut statistik Jabatan Kastam Perancis, sebanyak 30,015 tan kaki katak segar, beku atau disejukkan telah diimport antara tahun 2010 hingga 2019. Perkara itu membuatkan 600 hingga 1.5 juta katak dijadikan hidangan istimewa itu.

Dalam tempoh itu, Kesatuan Eropah telah mengimport lebih 300,000 tan katak hanya dari Indonesia.

Walaupun Amerika Syarikat turut mengimport sejumlah besar katak untuk dimakan namun katak itu telah dibiakkan secara khusus untuk perdagangan. Manakala Kesatuan Eropah lain masih mengimport katak yang ditangkap secara liar.

Charlotte Nithart, Ketua organisasi Perancis Robin des Bois berkata perdagangan katak bukan sahaja memberi kesan secara langsung kepada haiwan itu namun juga kepada pemuliharaan alam semula jadi.

“Katak memainkan peranan penting dalam ekosistem sebagai pembunuh serangga dan jika katak hilang, penggunaan racun serangga akan meningkat,” katanya.

Sehubungan itu, kumpulan Robin des Bois dan Pro Wildlife menyeru agar Kesatuan Eropah menamatkan eksploitasi berlebihan ke atas stok katak  dalam pasaran tempatan itu.

Mereka telah menyeru agar sekatan itu dijalankan melalui Konvonsyen CITES di bawah perlindungan Spesies. Hal ini kerana amfibia merupakan kumpulan yang paling terancam dalam vertebrata, lapor Kesatuan Antarabangsa untuk Pemuliharaan Alam (IUCN).

IUCN mendakwa bahawa terdapat sekurang-kurangnya 1,200 spesies amfibia  dan 17 peratus daripada jumlah keseluruhan di jual di pasaran antarabangsa.

Sumber: Daily Mail

Iqbal Yasir

A wise man once said "Siuuuuu"

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.