Seorang pengemis mengamuk dan bertindak baling selipar ke arah pemandu sebuah kereta di jalan raya gara-gara tidak dapat duit seperti yang diminta, lapor Suara.com.
Kejadian di Kota Semarang, Jawa Tengah itu berlaku selepas pemandu tersebut tidak memberikan duitnya hingga membuatkan pengemis itu naik darah dan mengamuk.
Difahamkan, selain membaling selipar, pengemis itu juga dipercayai turut memaki pemandu kereta tersebut sebelum ‘mengalah’ dan beredar dari lokasi kejadian.
Sementara itu, Ketua Polis Kota Semarang, Fajar Purwoto berkata, pengemis terbabit rupanya pernah ditahan polis sebanyak dua kali dalam kes terdahulu sebelum ini.
“Ketika itu, kami menahannya di Kalibanteng,” kata Fajar.
Menurutnya, pengemis terbabit juga dikatakan pernah bertindak lebih berani dengan memukul pintu kereta dan meludah kepada ‘mangsanya’ jika tidak diberikan duit.
Bagaimanapun jelas Fajar, walaupun bertindak ‘ganas’ sedemikian, namun pengemis itu dilaporkan tidak mengalami sebarang gangguan mental.
Dalam pada itu, tindakan pengemis berkenaan yang membaling selipar dan menghambur kata-kata makian sempat dirakam mangsa, sebelum video itu tular di media sosial.
Pengemis buta jadi sumber duit ‘tauke’ warga asing
Dalam pada itu, golongan pengemis juga pernah menjadi sumber lubuk duit bagi individu warga asing seperti dalam kejadian yang pernah berlaku di ibu kota.
Imbas kembali laporan Bernama pada 16 Februari lalu, seorang individu warga asing pernah memperoleh pendapatan lumayan sehingga lebih RM2,000 sebulan hasil daripada mengemis.
Warga asing tersebut yang dikenali sebagai Maria, 38, dari Madura, Jawa Tengah itu ‘menggalas’ tugas sebagai tukang pimpin kepada seorang pengemis orang kurang upaya (OKU) penglihatan.
Menurut Bernama, kerja Maria begitu mudah iaitu cuma jadi tukang pimpin atau penarik dan menguruskan pergerakan pengemis OKU berkenaan untuk mengemis di sekitar ibu kota.
Malah wanita itu turut mengakui, hasil mengemis menggunakan ‘khidmat’ pengemis buta berkenaan, pendapatan hariannya boleh mencecah lebih RM100 sehari, bergantung hasil kutipan pengemis yang bekerja untuknya.
“Waktu kerja tak tentu dan biasanya bergerak bersama-sama dengan rakan pimpin lain untuk bawa orang buta jual tisu.
“Hasil pendapatan saya boleh kirim RM300 kepada keluarga di kampung dan bayar sewa rumah RM450 sebulan,” kata Maria. memetik Bernama.
Difahamkan, Maria mendedahkan perkara sedemikian ketika disoal polis selepas ditahan dalam Operasi Op Pintas Bersepadu (Pengemis) di ibu negara pada ketika itu.
Sumber: Suara.com