Siakap Keli
Gambar via Twitter Joko Widodo

Bawa Misi Keamanan Dunia, Presiden Jokowi Tiba Di Ukraine Bertemu Zelensky

Presiden Indonesia, Joko Widodo atau lebih dikenali sebagai Jokowi dilaporkan tiba di Ukraine sekitar jam 8.50 pagi waktu tempatan dan disambut oleh beberapa pegawai Ukraine serta pegawai-pegawai daripada Kedutaan Indonesia hari ini, 29 Jun 2022. 

Memetik kenyatan beliau yang dimuat naik menerusi laman Twitter miliknya, Jokowi tiba di Stesen Central Kyiv setelah menempuh perjalanan yang mengambil masa lebih kurang 11 jam dengan menaiki kereta api dari Kota Przemysl, Poland. 

“Di belakang saya ini merupakan Pangsapuri Lipky di Bandar Irpin, Ukraine yang musnah disebabkan oleh perang.

“Bersama saya, Datuk Bandar Irpin, Alexander Grigorovich Markushin, saya lihat sendiri kehancuran rumah dan infrastruktur akibar perang. Semoga peperangan ini akan segera ditamatkan,” tulisnya. 

Dalam pada itu, Jokowi juga sempat menziarahi salah sebuah hospital di pusat bandar Kyiv yang menempatkan dan merawat mangsa perang.

Mereka juga telah menyerahkan simbolik bantuan kemanusian kepada Pusat Sains Endokrin dan Pembedahan, Pemindahan Organ dan Tisu Endokrin kepada Ukraine.

Difahamkan, Kerajaan Indonesia menghantar bantuan melalui ‘Palang Merah’ Ukraine dan menyatakan komitmen untuk membantu pembinaan semula hospital yang rosak akibat perang.

Jokowi kemudian bergerak dan tiba di pintu masuk Istana Mariyinsky pada pukul 3.00 petang dan disambut oleh Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky. 

“Di meja bulat kecil ini, saya dan Presiden Zelensky berbual dan berbincang di Istana Mariyinsky, Kyiv. 

“Saya menempuh perjalanan ke ibu negara Ukraine dan bertemu dengan Presiden Zelensky adalah semata-mata untuk membawa misi keamanan,” jelasnya di ruangan kapsyen. 

Menurut laporan CNBC Indonesia, selesai sahaja pertemuan di Ukraine itu, beliau dilapor akan bertolak ke Rusia untuk bertemu dengan Presiden Vladimir Putin.

Antara perkara yang akan dibincangkan dalam kedua-dua pertemuan tersebut adalah untuk mendesak agar kedua-dua belah pihak kembali ke meja rundingan bagi menyelesaikan konflik Rusia-Ukraine yang sedang berlangsung ketika ini.

BACA: Hormat Kontrak Dengan Mat Kilau, Yayan Ruhian Dedah Pernah Tolak Tawaran Berlakon John Wick 3

BACA: Cecah Puluhan Juta, Ini 7 Filem Malaysia Dengan Kutipan Tertinggi Dalam Sejarah

Sumber: Joko Widodo (Twitter) 

Faiz Mustafa