Beruang Ditemui Mati Akibat Kepanasan, Dipercayai Terperangkap Dalam Kereta
Seekor beruang hitam ditemui mati akibat kepanasan selepas terperangkap dalam kereta yang dipecah masuk olehnya, lapor Daily Star.
Haiwan yang ditemui di Sevierville, Tennessee itu difahamkan gagal untuk mencari jalan keluar selepas memasuki kenderaan tersebut.
Ia dilaporkan mati akibat suhu panas melampau yang dikatakan mencecah sehingga 60C (140F) dalam kereta berkenaan.
Selepas meninggalkan kereta di luar kabin sewa pada kira-kira pukul 10 pagi Khamis 23 Jun lalu, pemilik kereta tersebut telah kembali ke keretanya pada pukul 6.45 petang dan terkejut apabila mendapat bahawa terdapat beruang yang sudah tidak bernyawa terduduk di dalamnya.
Difahamkan bahawa, beruang tersebut berkemungkinan besar tidak dapat membuka pintu kereta dari dalam.
Seorang pegawai dari Agensi Sumber Hidupan Liar Tennessee menulis di Facebook: “berkemungkinan beruang itu telah masuk ke dalam kereta dengan menggunakan gigi atau kakinya untuk membuka pintu dan terperangkap di dalamnya selepas pintu tertutup.”
“Kami percaya bahawa haba yang panas berkemungkinan menjadi punca beruang itu mati kerana suhu di luar melebihi 95 darjah semalam, ini bermakna bahagian dalam kenderaan itu mungkin mencecah lebih 140 darjah.
Insiden itu telah mendorong pegawai hidupan liar untuk mengeluarkan amaran tentang tidak menarik haiwan-haiwan liar ini masuk ke dalam perangkap yang boleh membawa kepada kematian yang tidak disengajakan.
Beruang hitam di Amerika Utara mempunyai hidung “7 kali lebih baik daripada anjing,” kata mereka, dan boleh tertarik ke dalam ruangan yang tertutup walaupun bau makanan di situ dalam keadaan samar-samar di dalam kenderaan.”
Barangan yang dikatakan mempunyai daya tarikan istimewa kepada mereka termasuklah barangan seperti makanan manisan, bungkusan makanan segera mahupun penyegar udara.
Gambar dari kereta terbabit dalam kejadian Khamis lalu menunjukkan pemilik kereta tersebut meninggalkan bekas makanan dan minuman kosong di atas lantai kereta.
Pegawai tersebut juga menasihatkan semua pemandu dengan berkata, “kunci pintu anda, tutup tingkap anda, dan jangan sekali-kali meninggalkan makanan atau apa-apa barangan yang berbau makanan di dalam kenderaan”.
Sumber: Dailystar
Baca: Sambil Beli Buku Pun Boleh Bersedekah, Ini Cara Nak Beli Buku Dengan Rebat 10%