Disyaki Bunuh Diri Akibat Masalah Kewangan, Tiga Sekeluarga Ditemui Tenggelam Dalam Kereta
KOREA SELATAN – Tiga beranak yang dilaporkan hilang telah ditemui mati di dalam sebuah kereta yang tenggelam di perairan Wando.
Piha polis mengesyaki bahawa keluarga tersebut membunuh diri kerana mengalami masalah kewangan.
Balai polis Gwangju Nambu mengesahkan, tiga mayat yang ditemui di dalam kereta sedan Audi terbalik sehari sebelumnya di perairan Wando, Wilayah Jeolla Selatan sebagai mayat seorang budak yang berusia 10 tahun dan ibu bapanya, yang dilaporkan hilang.
Mereka mengesahkan identiti tersebut melalui pemeriksaan cap jari. Cap jari budak itu telah didaftarkan dalam sistem untuk pencegahan kanak-kanak hilang.
Kanak-kanak tersebut dan ibunya dilaporkan duduk di bahagian belakang tanpa memakai tali pinggang keledar, manakala bapanya di tempat duduk pemandu dilaporkan memakai tali pinggang keledarnya.
Walaupun mayat telah dihantar untuk bedah siasat, Perkhidmatan Forensik Kebangsaan tidak dapat menentukan punca kematian kerana mayat telah reput disebabkan berada di dalam air untuk jangka masa yang lama.
Perkhidmatan Forensik Kebangsaan akan menjalankan lebih banyak ujian ke atas mayat, tetapi ia akan mengambil masa selama sebulan untuk mengetahui punca kematiannya.
Polis yang sedang menyiasat kes itu mengklasifikasikan kes tersebut sebagai cubaan bunuh diri. Hal ini kerana, sejarah carian internet mangsa menunjukkan carian mengenai pil tidur dan juga mengenai mata wang kripto sebelum mereka dilaporkan hilang.
Menurut polis, keluarga berkenaan sedang mengalami masalah kewangan. Kedua ibu bapa kanak-kanak tersebut dilaporkan telah berhenti kerja pada musim panas tahun lalu.
Dilaporkan bahawa mereka mempunyai hutang kira-kira 100 juta won (RM340,000) pada kad kredit mereka. Mereka disyaki telah melabur sejumlah besar wang dalam mata wang kripto luna di mana mata wang tersebut telah jatuh, berdasarkan keterangan mereka yang mengenali keluarga tersebut.
Tetapi memandangkan lokasi sebelum kematian mereka tidak diketahui, polis juga akan melihat kemungkinan lain, seperti kemalangan kereta.
Kanak-kanak tersebut tidak hadir ke sekolahnya di Gwangju selama 18 hari persekolahan dari 19 Mei hingga 15 Jun, kerana ibu bapanya memohon cuti untuk ke Pulau Jeju selama sebulan.
Pun begitu, mereka sekeluarga dilaporkan tidak pernah sampai ke Pulau Jeju. Sebaliknya, mereka tinggal selama seminggu di Wando.
Apabila kanak-kanak itu tidak menghadiri kelas selepas tempoh tersebut dan tidak dapat dihubungi selama beberapa hari, pihak sekolahnya telah melaporkan kehilangannya itu kepada pihak polis pada 22 Jun lalu.
Keluarga itu kali terakhir dilaporkan dilihat pada 30 Mei jam 11 malam melalui kamera litar tertutup berhampiran rumah tamu tempat mereka menginap di Wando.
Dalam klip itu, ibu budak tersebut dilihat membawa seorang kanak-kanak yang dikatakan sebagai mangsa di belakangnya dan disertai oleh bapanya.
Telefon bimbit keluarga itu juga telah dimatikan dalam masa beberapa jam selepas rakaman klip itu, dan isyarat telefon mereka turut hilang. Keberadaan mereka selepas itu yang membawa kepada penemuan mereka di mana selama ini masih tidak diketahui.
Sumber: koreaherald.com
Baca: Sambil Beli Buku Pun Boleh Bersedekah, Ini Cara Nak Beli Buku Dengan Rebat 10%