Sebuah pekan di Florida, Amerika Syarikat terpaksa menjalani perintah berkurung (lockdown) selepas diserang ‘gerila’ siput babi gergasi sebesar tikus baru-baru ini, lapor Daily Star.
Menurut laporan Daily Star, Jabatan Pertanian dan Perkhidmatan Pengguna (FDACS) Florida mengumumkan bahawa haiwan itu telah dikesan di kawasan sekitar New Port Richey di Pasco County.
Sehubungan itu, pihak berkuasa tempatan telah mengeluarkan amaran kepada penduduk di pekan berkenaan mengenai kemunculan haiwan perosak yang berasal dari Afrika tersebut.
Difahamkan, siput babi tersebut atau nama lainnya African land snail sebesar tikus itu dilapor membawa parasit lungworm yang dipercayai boleh mengancam nyawa manusia.
“Siput darat Afrika (atau siput babi) gergasi adalah salah spesies siput perosak berbahaya di dunia dan memakan sekurang-kurangnya 500 jenis tumbuhan yang berbeza,” kata sumber FDACS, memetik Daily Star.

Perkara itu disahkan oleh pihak berkuasa dan penduduk diarahkan untuk menjalani kuarantin pada hari berikutnya, sementara mereka berusaha membasmi haiwan perosak tersebut.
Sepanjang tempoh lockdown, penduduk New Port Richey dilarang memindahkan segala tumbuhan, tanah, serpihan, sisa halaman, kompos dan bahan binaan yang terletak di luar kawasan yang telah ditetapkan.
Selain berbahaya kepada nyawa manusia, siput babi itu juga dilaporkan boleh memberi kesan teruk ke atas pertanian tempatan dan kawasan semulajadi.
Perkara itu sedikit sebanyak mencetuskan kebimbangan kepada awam kerana boleh menyebabkan kerosakan teruk terhadap persekitaran tropika dan subtropika.
Sementara itu, Jabatan Pertanian Amerika Syarikat juga telah menjalankan proses pencegahan dengan menggunakan racun perosak yang dikenali metaldehid.
Semua penduduk juga telah dimaklumkan tentang notis pembasmian itu sekurang-kurangnya 24 jam sebelum dilaksanakan.

Imbas kembali, kali pertama siput babi ditemui di Florida adalah pada tahun 2011 sehingga kerajaan terpaksa berbelanja sebanyak RM47.7 juta untuk membasminya sehingga kini.
Difahamkan, haiwan perosak itu diketahui mampu membiak dengan cepat dan boleh menghasilkan kira-kira 1,200 butir telur dalam setahun.
Tambahan pula, ia juga tidak mempunyai pemangsa semulajadi menyebabkan siput berkenaan sukar dibasmi, lapor Metro UK.
Selain itu, siput babi juga boleh hidup sehingga sembilan tahun dan mampu membesar sehingga lapan inci panjang dengan anggaran saiz tangan orang dewasa.
Sumber: Daily Star