Siakap Keli
SRI LANKA BANKRUP
Gambar: AFP

Sri Lanka Mengaku Sudah Bankrup, 80 % Rakyat Terpaksa “Skip” Makan Kerana Harga Barang Melonjak

Sri Lanka sudah bankrup dan krisis ekonomi teruk yang berlaku ketika ini dijangka akan berterusan sehingga tahun depan, maklum Perdana Menteri, Ranil Wickremesinghe Selasa lalu. 

Negara dengan populasi 22 juta itu terpaksa melalui tempoh-tempoh sukar untuk berbulan-bulan lamanya seperti masalah inflasi dan bekalan tenaga terpaksa dipotong selepas kerajaan kehabisan matawang asing untuk mengimport barang keperluan penting. Antara yang menjadi punca kepada masalah tersebut adalah masalah pengurusan ekonomi negara itu yang lemah.

Wickremesinghe berkata, negara itu yang dulunya berada dalam keadaan makmur akan mengalami kemelesetan ekonomi yang tak pernah dilihat pada tahun ini termasuk kekurangan sumber makanan, bahan api dan ubat-ubatan secara berterusan. 

“Kami perlu hadapi keadaan ini sehingga pada tahun 2023, inilah kebenaran dan inilah realitinya,” kata Perdana Menteri, lapor AFP. 

Difahamkan, rundingan ‘bailout’ secara berterusan Sri Lanka bersama dengan Tabung Kewangan Antarabangsa bergantung kepada kata putus pelan penstrukturan semula hutang dengan kreditor menjelang Ogos ini.

“Kita kini akan mengambil bahagian dalam rundingan ini sebagai negara muflis. 

“Disebabkan keadaan negara kita sedang berada dalam fasa muflis, kita perlu mengemukakan pelan kemapanan hutang kita kepada mereka secara berasingan, jika (IMF) berpuas hati dengan rancangan itu barulah kita akan mencapai persetujuan bersama,” jelasnya lagi. 

Minggu lalu, IMF berkata, masih terdapat banyak kerja yang perlu diselesaikan untuk meletakkan situasi kewangan negara itu di landasan yang betul dan memperbaiki defisit fiskal sebelum perjanjian boleh dicapai mengenai aturan pembiayaan untuk menangani krisis imbangan pembayarannya.

Dalam pada itu, IMF juga telah memberitahu pihak berkuasa Sri Lanka untuk melakukan lebih banyak lagi bagi memerangi rasuah dan menamatkan subsidi tenaga yang banyak menghabiskan dana kerajaan.

Hampir keseluruhan Sri Lanka telah kehabisan bahan api petrol dan kerajaan telah menutup perkhidmatan awam yang tidak penting dalam usaha untuk menjimatkan bahan api. 

Selain itu, pergaduhan juga dilaporkan tercetus di beberapa stesen minyak yang masih menjual bahan api tersebut dengan puluhan ribu yang masih berbaris untuk mendapatkan minyak petrol walaupun mempunyai peluang yang tipis disebabkan oleh kekurangan stok dan stok baharu dijangka tiada sekurang-kurangnya dua minggu. 

Pertubuhan Bangsa-Bangsa bersatu menganggarkan bahawa kira-kira 80 peratus orang ramai akan melangkaui waktu makan disebabkan oleh kekurangan makanan dan harga barang yang melonjak tinggi. 

Menurut Wickremesinghe, IMF menjangka ekonomi Sri Lanka semakin menyusut sebanyak tujuh peratus pada tahun ini, ia lebih teruk daripada apa yang diramalkan oleh Bank Pusat Negara.

Beliau juga turut berkata, kadar inflasi akan terus meningkat melebihi 60 peratus dan penyusutan ketara nilai mata wang kebangsaan sejak beberapa bulan lalu menyebabkan penurunan lebih separuh nilai simpanan kerajaan.

BACA: Pernah Jadi Perisik, Kenali Umar Yamaoko, Dipercayai Muslim Pertama Dari Jepun Tunai Haji

Sumber: AFP

Faiz Mustafa