Siakap Keli

Boleh Ke Sedekah Daging Korban Yang Dimasak, Atau Kena Bagi Daging Mentah? Ini Jawapan Mufti WP

Boleh Ke Sedekah Daging Korban Yang Dimasak, Atau Kena Bagi Daging Mentah? Ini Jawapan Mufti WP

Selain Hari Raya Aidil Fitri, Hari Aidil Adha juga hari yang dinanti-nantikan buat seluruh umat islam dari serata dunia ini. Apabila menyebut mengenai Aidiladha ini, semestinya tidak lain tidak bukan yang ditunggukan adalah ibadah korban.

Di tanah air kita, haiwan seperti lembu dan kambing sering menjadi pilihan masyarakat setempat untuk dijadikan sembelihan korban dan diagihkan kepada orang ramai.

Namun, setiap kali Hari Raya Aidiladha ini menjelma juga, pelbagai persoalan sering timbul di fikiran orang ramai dan memerlukan jawapan segera kerana ia melibatkan sama ada ibadah korban itu diterima atau tidak.

Antaranya, apakah hukum memberi sedekah daging korban yang dimasak? Untuk menjawab persoalan itu, mari kita ikuti perkongsian yang penuh bermanfaat dibawakan oleh Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.

HUKUM MEMBERI SEDEKAH DAGING KORBAN YANG DIMASAK

Irsyad alfatwa korban 26

SOALAN:

Assalamualaikum Dato’ Seri Mufti, saya ada satu persoalan. Adakah disyaratkan untuk saya memberi sedekah daging korban saya dalam keadaan mentah sahaja atau boleh untuk saya mengadakan jamuan dengan memasak kesemua daging korban tersebut dan dijamukan kepada golongan fakir miskin?

Mohon pencerahan Tuan Mufti. Terima kasih.

JAWAPAN:

Alhamdulillah segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.

Para ulama’ Syafi’iyyah telah menetapkan bahawa hukum melakukan ibadah korban ialah sunat muakkad secara kifayah bagi ahli-ahli di dalam sebuah keluarga. Justeru, ia sangat digalakkan bagi sesiapa yang berkemampuan dalam sesebuah keluarga untuk menyertai ibadah korban dengan bahagian yang tertentu. Apabila salah seorang daripada anggota keluarga telah menyertai ibadah korban, maka sudah memadai bagi semua ahli keluarga dengan mendapat pahalanya. (Rujuk Tawsyih ‘ala Ibn Qasim: 527)

Menjawab persoalan di atas, para ulama’ telah menetapkan bahawa daging korban wajib disedekahkan kepada golongan fakir miskin dalam keadaan mentah, dan bukannya yang telah dimasak atau dikeringkan. Berkenaan ini, al-Sheikh Muhammad Ibn Ahmad al-Syathiri di dalam kitabnya Syarh al-Yaqut al-Nafis menyebutkan:

وَ يُجْزِئُ نِيءٌ غَيْرُ تَافِهٍ مِن لَحْمِ المُتَطَوَّعِ بِهَا

Maksudnya: Sahnya daging korban itu adalah dengan disedekahkan dalam keadaan mentah, apa yang tidak rosak, daripada daging korban yang sunat. (Rujuk Syarh al-Yaqut al-Nafis: 828)

فَلَا يَكْفِى إِعْطَاؤُهُ مَطْبُوخًا وَ لَا قَدِيدًا

Maksudnya: Tidak memadai untuk memberi sedekah daging korban tersebut dalam keadaan sudah dimasak atau sudah dikeringkan (diawet dengan garam). (Rujuk Syarh al-Yaqut al-Nafis: 828)

Begitu juga dalam Hasyiah al-Bajuri, al-Sheikh Ibrahim al-Bajuri menyebutkan bahawa:

وَ يُشْتَرَطُ فِي اللَحْمِ أَن يَكُونَ نِيئًا لِيَتَصَرَّفَ فِيهِ مَن يَأْخُذُهُ بِمَا شَاءَ مِن بَيْعٍ وَ غَيْرِهِ كَمَا فِي الكَفَارَاتِ فَلَا يَكْفِي جَعْلُهُ طَعَامًا مَطْبُوخًا وَ دُعَاءَ الفُقَرَاءِ إِليْه لِيَأْكُلُوهُ

Maksudnya: Disyaratkan bagi daging korban tersebut untuk disedekahkan dalam keadaan mentah supaya dapat dimanfaatkan bagi sesiapa yang menerimanya mengikut apa yang dikehendaki olehnya sama ada menjualnya atau seumpamanya, sepertimana sama juga dalam bab kafarah. Justeru itu, tidak memadai memberi sedekah dengan menjadikannya sebagai makanan yang dimasak kemudian diajak golongan fakir miskin untuk memakannya. (Rujuk Hasyiah al-Bajuri, 2:567)

Oleh itu, jelas kepada kita bahawa daging korban wajib diberikan sebahagian daripadanya sebagai sedekah dalam keadaan mentah, dan bukannya dimasak dan dijamukan. Walaubagaimanapun, para ulama’ tidak menetapkan kadar tertentu bagi sedekah yang wajib daripada haiwan korban tersebut, bahkan dibolehkan untuk memberi sedekah walaupun dengan kadar sedikit sahaja. Berkaitan hal ini, Imam Khatib al-Syarbini menyebut di dalam kitabnya Mughni Muhtaj bahawa:

وَ الأَصَحُّ وُجُوبُ التَصّدُّقِ بِبَعْضِهَا وَلَوْ جُزْءًا يَسِيرًا مِن لَحْمِهَا بِحَيْثُ يَنْطَلِقُ عَلَيْه الإِسْم عَلَى الفُقَرَاءِ

Maksudnya: Pendapat yang paling sahih ialah wajib untuk memberi sedekah sebahagian daripadanya walaupun pada kadar yang sedikit daripada daging tersebut sekira-kira boleh dinamakannya sebagai sedekah, kepada golongan fakir miskin. (Rujuk Mughni Muhtaj, 4: 387-388)

Kesimpulan

Berdasarkan perbahasan dan perbincangan di atas, kami berpendapat bahawa tidak boleh untuk dimasak dan dijamukan kesemua daging korban, bahkan wajib untuk disedekahkan sebahagian daripadanya dalam keadaan mentah kepada golongan fakir miskin. Kadar sebahagian itu tidak ditetapkan, bahkan boleh diberikan dalam kuantiti yang sedikit dan kepada seorang sahaja daripada golongan fakir miskin. Manakala, daging korban yang berbaki daripada apa yang telah disedekahkan tersebut, bolehlah dimasak dan diadakan kenduri untuk dijamu kepada orang ramai.

Semoga Allah SWT memberikan kita taufiq dan hidayah dalam mengamalkan syariatNya dengan sebaiknya. Amin.

WaAllahu a’lam.

BACA: Cecah Puluhan Ribu Kilometer, Ini Laluan Pejalan Kaki Dipercayai Terpanjang Di Dunia & Tak Pernah Dilalui Sesiapa

BACA: Lelaki Terapung Disangka Mayat Hanyut, Rupanya Sedang ‘Bertapa’

Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

Nurul Nazihah