KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga mantan Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe yang meninggal dunia sebentar tadi.
Dalam satu kenyataan di laman Facebook rasmi Istana Negara hari ini, KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah turut sama menzahirkan rasa dukacita ke atas kematian mendiang.
“Seri Paduka Baginda berdua turut menzahirkan rasa dukacita dengan pemergian mendiang dan menzahirkan harapan agar seluruh keluarga mendiang sabar serta tabah menghadapi dugaan dan suasana sedih serta pilu ini.
“Seri Paduka Baginda menyifatkan pemergian mendiang sebagai kehilangan besar negara Jepun dan rakyatnya,” maklum kenyataan tersebut hari ini.
Tambah kenyataan itu, imbas kembali, Baginda YDPA sebelum ini pernah berkenan menerima menghadap mendiang yang juga merupakan Utusan Khas Perdana Menteri Jepun, Fumio Kishida di Istana Negara pada 11 Mac lalu.

“Mendiang pada ketika itu dalam rangka lawatan tiga hari ke Malaysia sempena Ulang Tahun ke-40 Dasar Pandang ke Timur dan 65 tahun penubuhan hubungan diplomatik Malaysia dan Jepun.
“Pada pertemuan tersebut, Seri Paduka Baginda turut telah berkenan menganugerahkan ljazah Kehormat Doktor Falsafah Dalam Politik Ekonomi kepada mendiang sempena Majlis Konvokesyen ke-36 Universiti Islam Antarabangsa Malaysia,” tambah kenyataan itu.
Difahamkan, sesi menghadap tersebut merupakan pertemuan kedua Seri Paduka Baginda YDPA dengan mendiang.
Menurut kenyataan Istana Negara, sesi pertemuan pertama adalah ketika Seri Paduka Baginda YDPA menghadiri Istiadat Pertabalan Maharaja Jepun ke-126, Maharaja Naruhito di Istana Imperial, Tokyo, Jepun pada 23 Oktober 2019 lalu.

Menurut laporan terdahulu, Shinzo Abe, 67, meninggal dunia ketika menerima rawatan di sebuah hospital di Kishihara selepas ditembak ketika menyampaikan ucapan di Nara pagi tadi.
Sebelum itu, Abe dilaporkan ditembak oleh seorang lelaki yang tidak dikenali ketika sedang berkempen di tepi jalan di Nara menjelang pemilihan Upper House yang dijadualkan akan diadakan pada Ahad.
“Dia sedang memberi ucapan sebelum seorang lelaki datang daripada belakang.
“Tembakan pertama bunyi seperti tembakan pistol mainan. Dia (Abe) tidar terus jatuh. Tembakan kedua lebih jelas, asap dan percipan api jelas kelihatan.
“Selepas tembakan kedua, orang ramai mula mengerumuninya dan memberikan bantuan awal,” kata salah seorang saksi ditempat kejadian.
Ketika itu, Abe dilapor rebah dan mengalami pendarahan yang bermula daripada kawasan lehernya, menurut sumber daripada parti diwakilinya, LDP, ketika bercakap dengan agensi berita Jiji.
Menurut AFP, media tempatan melaporkan bahawa penyerang berusia pertengahan 40-an dan sumber polis pula mendedahkan bahawa lelaki tersebut pernah berkhidmat dengan Tentera Laut Pasukan Pertahanan Diri Jepun (JSDF Navy).
Ketika ditahan, penyerang dilaporkan memegang sepucuk senjata api yang kelihatan seperti buatan sendiri, lapor media tempatan lagi. NHK pula melaporkan lelaki berkenaan memberitahu polis bahawa dia menyerang Abe dengan niat untuk membunuh.
Abe merupakan Perdana Menteri Jepun yang paling lama berkhidmat, iaitu setahun pada 2006 dan menjawat jawatan berkenaan buat kali kedua pada 2012 sehingga 2020.
Sumber: FB Istana Negara