Siakap Keli
shinzo abe ditembak
Gambar: Kazuhiro NOGI / AFP

Bekas PM Jepun, Shinzo Abe Dilaporkan Meninggal Dunia

Bekas Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe, 67, yang ditembak ketika menyampaikan ucapan pagi tadi di Nara dilaporkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di sebuah hospital di Kishihara.

Berita berkenaan dilaporkan oleh agensi berita tempatan, NHK World News sebentar tadi.

Terdahulu, Abe dilaporkan ditembak oleh seorang lelaki yang tidak dikenali ketika sedang berkempen di tepi jalan di Nara menjelang pemilihan Upper House yang dijadualkan akan diadakan pada Ahad.

“Dia sedang memberi ucapan sebelum seorang lelaki datang daripada belakang.

“Tembakan pertama bunyi seperti tembakan pistol mainan. Dia (Abe) tidar terus jatuh. Tembakan kedua lebih jelas, asap dan percipan api jelas kelihatan.

“Selepas tembakan kedua, orang ramai mula mengerumuninya dan memberikan bantuan awal,” kata salah seorang saksi ditempat kejadian.

Abe dilapor rebah dan mengalami pendarahan yang bermula daripada kawasan lehernya, menurut sumber daripada parti diwakilinya, LDP, ketika bercakap dengan agensi berita Jiji.

Menurut AFP, media tempatan melaporkan bahawa penyerang berusia pertengahan 40-an dan sumber polis pula mendedahkan bahawa lelaki tersebut pernah berkhidmat dengan Tentera Laut Pasukan Pertahanan Diri Jepun (JSDF Navy).

Ketika ditahan, penyerang dilaporkan memegang sepucuk senjata api yang kelihatan seperti buatan sendiri, lapor media tempatan lagi. NHK pula melaporkan lelaki berkenaan memberitahu polis bahawa dia menyerang Abe dengan niat untuk membunuh.

Abe merupakan Perdana Menteri Jepun yang paling lama berkhidmat, iaitu setahun pada 2006 dan menjawat jawatan berkenaan buat kali kedua pada 2012 sehingga 2020.

Sumber: NHK, AFP

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.