Populasi Dunia Bakal Mencecah 8 Bilion Tahun Ini – PBB
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) meramalkan, penduduk dunia dijangka akan mencecah sehingga lapan bilion pada 15 November nanti.
Menurut AFP, PBB turut menyatakan bahawa India bakal mengatasi China sebagai negara paling ramai penduduk di dunia pada tahun 2023.
“Pencapaian keseluruhan populasi itu adalah sebagai salah satu peringatan tentang tanggungjawab kita bersama dalam usaha menjaga planet serta renungan di mana kita masih gagal mencapai komitmen antara satu sama lain,” kata Setiausaha Agung Antonio Guterres.
“Ini adalah sebuah kesempatan untuk meraikan kepelbagaian kita, mengiktiraf sifat kemanusiaan kita, dan mengagumi kemajuan dalam bidang kesihatan di mana telah memanjangkan jangka hayat dan secara mendadak mengurangkan kadar kematian ibu dan anak,” tambahnya lagi.
Ramalan yang dilakukan oleh Jabatan Hal Ehwal Ekonomi dan Sosial PBB menyatakan bahawa populasi dunia pada ketika ini bertambah pada kadar palingperlahan sejak tahun 1950.
Ia sepatutnya mencecah 8.5 bilion pada 2030 dan 9.7 bilion pada 2050, memuncak pada kira-kira 10.4 bilion orang pada 2080 sebelum kekal pada tahap itu sehingga 2100.
Walaupun penurunan bersih dalam kadar kelahiran diperhatikan berlaku di beberapa negara membangun, lebih separuh daripada ramalan kenaikan penduduk dunia dalam dekad akan datang akan tertumpu di lapan negara, kata laporan itu.
Laporan itu berkata, negara-negara yang ditumpukan adalah di Republik Demokratik Congo, Mesir, Ethiopia, India, Nigeria, Pakistan, Filipina dan Tanzania.
Sumber: AFP
Baca: Sambil Beli Buku Pun Boleh Bersedekah, Ini Cara Nak Beli Buku Dengan Rebat 10%