Rakyat Sri Lanka Temui Wang Tunai Berjumlah Lebih 200k Dalam Istana Presiden
COLOMBO – Wang tunai berjuta-juta rupee yang ditinggalkan oleh Presiden Gotabaya Rajapaksa ketika beliau melarikan diri dari kediaman rasminya di ibu negara akan diserahkan kepada mahkamah oleh pihak polis, lapor polis.
Menurut AFP, wang tunai berjumlah 17.85 juta rupee (RM221,350) yang ditemui penunjuk perasaan itu terus diserahkan kepada pihak polis ketika penunjuk perasaan berjaya merusuh masuk istana presiden pada Sabtu lalu.
“Wang tunai yang dijumpai itu telah diambil alih oleh pihak polis dan akan dibawa ke mahkamah,” kata jurucakap polis.
Sumber rasmi berkata beg pakaian yang penuh dengan dokumen juga telah ditinggalkan di rumah tersergam itu. Rajapaksa telah menetap di bangunan berusia dua abad itu selepas dia dihalau keluar dari rumah persendiriannya pada 31 Mac lalu apabila penunjuk perasaan cuba untuk menyerbunya.
Pemimpin berusia 73 tahun itu telah melarikan diri melalui pintu belakang di bawah kawalan anggota tentera laut dan dibawa pergi dengan menggunakan sebuah bot untuk menuju ke timur laut pulau itu, ujar sumber rasmi kepada AFP.
Lokasi sebenar beliau tidak diketahui pada pagi Isnin, tetapi Perdana Menteri Ranil Wickremesinghe berkata Rajapaksa secara rasmi telah memaklumkan hasratnya untuk meletak jawatan.
Wickremesinghe yang berusia 73 tahun secara automatik akan menjadi pemangku presiden sekiranya Rajapaksa meletak jawatan tetapi beliau sendiri telah mengumumkan kesediaannya untuk berundur jika konsensus dicapai untuk membentuk kerajaan perpaduan.
Rajapaksa sebelum ini sudah memberitahu Speaker parlimen Mahinda Abeywardana bahawa dia akan letak jawatan pada hari Rabu untuk membenarkan “peralihan aman”, beberapa jam selepas dia dipaksa keluar dari kediaman rasminya.
Setelah itu, puluhan ribu penunjuk perasaan datang dan menawan pejabat Rajapaksa sejurus selepas menakluki istana tersebut pada hari Sabtu lalu.
Penunjuk perasaan tersebut telah berkampung di luar kediaman Sekretariat selama lebih tiga bulan bagi mendesak beliau untuk meletakkan jawatannya berikutan krisis ekonomi yang belum pernah berlaku di negara itu.
Rajapaksa telah dituduh gagal menguruskan ekonomi sehingga menyebabkan negara kehilangan pelabur asing untuk membiayai import paling penting yang membawa kepada kesusahan kepada 22 juta penduduk di sana.
Beribu-ribu lelaki dan wanita pada Isnin lalu terus menawan bangunan negeri yang telah mereka ambil alih pada hujung minggu, berikrar untuk kekal berada di situ sehingga Rajapaksa berundur.
Jalan raya menuju ke istana itu sesak dengan puluhan ribu orang pada Ahad untuk melawat rumah agam yang sebelum ini telah menjadi bangunan paling ketat di negara tersebut.
Sebuah patung Rajapaksa telah digantung di menara jam berhampiran istana oleh penunjuk perasaan di sana. Penunjuk perasaan juga menuntut peletakan jawatan oleh pemangku presiden.
Pemangku presiden iaitu Wickremesinghe, seorang penggubal undang-undang pembangkang yang dilantik sebagai perdana menteri pada Mei mencuba untuk membawa negaranya keluar daripada krisis ekonomi yang berlaku.
Sri Lanka gagal membayar hutang asingnya sebanyak $51 bilion pada bulan April lalu dan sedang berbincang dengan IMF untuk kemungkinan menyelamatkannya.
Sri Lanka juga hampir kehabisan bekalan petrolnya yang sedia ada. Pihak kerajaan telah mengarahkan penutupan pejabat dan sekolah yang tidak penting bagi mengurangkan kos perjalanan dan menjimatkan minyak.
Sumber: AFP
Baca: Sambil Beli Buku Pun Boleh Bersedekah, Ini Cara Nak Beli Buku Dengan Rebat 10%