Peguam yang mewakili waris kepada Kesultanan Sulu dilapor rampas dua anak syarikat milik Petronas di Azerbaijan yang dianggarkan bernilai RM8.87 bilion baru-baru ini, lapor Financial Times menerusi Sinar Harian.
Difahamkan, seperti yang dilaporkan Financial Times, kedua-dua syarikat berkenaan yang dirampas bailif di Luxembourg itu ialah Petronas Azerbaijan (Shah Deniz) dan Petronas South Caucasus.
Menurut laporan, rampasan tersebut adalah sebahagian daripada usaha perundangan yang dilakukan waris kesultanan itu, selepas tuntutan RM62.59 bilion daripada Malaysia sebagai pampasan timbang tara sebelum ini.
Imbas kembali, satu proses timbang tara oleh keturunan Sultan Sulu terakhir, Sultan Jamalul Kiram II pernah dimulakan sebelum ini sebagai tindak balas ke atas Malaysia yang dilapor memotong pembayaran pajakan tahunan sebanyak RM5,300 pada 2013 lalu.
Bagaimanapun menurut laporan itu, tuntutan tersebut tidak diiktiraf Kerajaan Malaysia, selain ‘Final Award’ yang dikeluarkan penimbang tara, Dr Gondoza Stampa turut ditolak sepenuhnya.
Difahamkan, penolakan penuh tersebut adalah mengenai dakwaan pelanggaran terhadap Perjanjian 1878 melibatkan antara pihak Sultan Sulu ketika itu dengan Baron de Overbeck dan Alfred Dent.
Merujuk Sinar Harian, perjanjian berkenaan menyaksikan Sultan Sulu menyerahkan wilayahnya di Borneo Utara (kini Sabah) selama-lamanya dan kesultanan itu (serta warisnya) diberikan wang serahan RM5,300 setiap tahun sebagai balasan.
Bagaimanapun, pembayaran tahunan tersebut akhirnya terpaksa diberhentikan oleh Kerajaan Malaysia selepas berlakunya tragedi pencerobohan dan serangan bersenjata di Lahad Datu pada 2013 lalu.
Sementara itu, kerajaan sudah memfailkan permohonan untuk membatalkan Final Award berhubung itu tuntutan pihak yang mengaku sebagai waris Sultan Sulu seperti yang dimaklumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Mac lalu.
Menurut Ismail, permohonan pembatalan tersebut yang dibuat pada 3 Mac lalu di Mahkamah Arbitari Paris di Perancis tersebut adalah bagi memastikan kedaulatan serta kepentingan negara terpelihara.
Jelasnya, tindakan itu juga dibuat bagi memastikan keputusan tersebut tidak boleh dikuatkuasakan, selain turut memastikan Malaysia tidak perlu membayar wang pampasan seperti yang dituntut.
Sumber: Sinar Harian / Financial Times