“Dia Telah Mencapai Banyak Kejayaan,” Ten Hag Putuskan Maguire Akan Kekal Jadi Kapten
Pengurus Manchester United, Erik Ten Hag mengesahkan bahawa Harry Maguire akan terus kekal menjadi kapten kelab tersebut.
Menerusi laman web rasmi Manchester United, Ten Hag telah memaklumkan mengenai perkara tersebut di dalam sidang media pada Isnin lalu.
Ketika diminta untuk menjelaskan mengenainya, Ten Hag berkata Maguire adalah seorang kapten yang berkaliber.
“Harry Maguire ialah kapten, sudah tentu saya perlu mengenali semua pemain dan ia memerlukan masa.
“Tetapi dia adalah kapten yang berkaliber selama beberapa tahun dan dia telah mencapai banyak kejayaan, jadi saya tidak ragu-ragu mengenai isu ini,” katanya.
Sementara itu, Maguire berkata skuad itu perlu bekerja keras untuk menjadi lebih cergas dari segi fizikal dan mental berbanding musim lalu.
“Saya rasa latihan adalah sukar, sebagai pemain kami faham keadaan fizikal kami pada ketika ini. Kami telah kembali dalam keadaan baik tetapi perlu menjadi lebih cergas.
“Kami perlu lebih baik dari segi fizikal dan mental,” katanya.
Menurutnya lagi, dia juga teruja untuk bekerja di bawah kendalian Ten Hag dan memperbaiki kemahirannya.
“Saya pasti dia akan memberi impak yang besar di kelab ini dan seperti yang saya katakan, kami semua tidak sabar untuk bekerja di bawahnya dan menantikan apa yang akan dibawa olehnya pada masa depan,” katanya.
United telah mencatat pungutan mata paling rendah dalam Liga Perdana pada musim lalu serta bolos lebih banyak gol daripada era pasca 1992.
Sumber: Manchester United, 90 Min