Siakap Keli

Kapten Man United, Harry Maguire Dilapor Terima Ancaman Bom

Pihak polis United Kingdom ketika ini dilapor mengawal dan memeriksa kediaman Kapten Manchester United, Harry Maguire selepas dia dan keluarganya menerima ancaman bom.

Menurut laporan SportBible, polis telah menghantar anjing pengesan ke rumah pemain pertahanan termahal di dunia itu, yang mana didiami bersama tunang dan dua anaknya.

Harry sebelum ini dilapor menerima satu email yang menyebut bom akan ditanam dihalaman rumahnya. Pihak polis memandang serius ancaman tersebut.

”Dalam tempoh 24 jam ini, Harry telah menerima ancaman bom yang meletakkan keluarganya dalam risiko.

”Perkara ini telah dilaporkan kepada polis dan kini pihak berkuasa sedang menyiasat ancaman tersebut. Keselamatan keluarga dan individu-individu terdekat adalah keutamaan Harry buat masa ini.

”Beliau bagaimanapun kekal fokus dan akan terus mempersiapkan diri bagi mengharungi perlawanan seterusnya hujung minggu ini. Kami tidak akan mengulas lanjut mengenai ancaman yang diterima,” kata jurucakap kepada Harry.

Harry dan Machester United mengharungi musim yang tidak berapa menjadi tahun ini selain baru sahaja menelan kekalahan pahit kali kedua kepada musuh tradisi, Liverpool dalam saingan EPL. Liverpool menang 4-0 dalam pertemuan tersebut.

Sebagai kapten pasukan, Harry merupakan individu yang paling banyak dikritik, bukan sahaja oleh peminat kelab malah menjadi mangsa kecaman terbuka pengkritik-pengkritik bola di kaca televisyen. Malah, beliau seringkali menjadi bahan jenaka peminat lawan setiap kali Man United tampil hambar di atas padang, lebih-lebih lagi ketika kelab menanggung kekalahan.

Bagaimanapun, dalam temubual pra-perlawanan menentang Liverpool, beliau tampil menjawab kritikan tersebut.

”Saya tidak akan bermain semua perlawanan Man United dan diturunkan dalam kesebelasan utama oleh semua jurulatih sekiranya saya bermain teruk.

”Sudah tentu, mereka semua (jurulatih) mempunyai alasan untuk menurunkan saya dalam setiap perlawanan. Namun sebagai kapten kelab, saya memahaminya (kritikan peminat) kerana saya didatangkan dengan tanda harga yang tinggi, jadi sudah tentu jika situasi kelab tidak berapa baik, maka saya akan dikritik.” katanya.

Sumber: SportBible

 

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.