Bayangkan ketika sedang berehat, santai-santai, tiba-tiba ada satu panggilan masuk dan suara dihujung sana mirip dengan suara yang anda sangat kenali.
Suara itu kedengaran sangat panik, seolah-olah situasi begitu tegang atau sedang tersepit dan memerlukan bantuan daripada anda, lebih tepat dalam bentuk kewangan.
Pemanggil dalam ketakutan kemudian mendesak anda segera membuat pemindahan wang ke sebuah akaun yang mungkin anda tidak sempat buat semakan kerana turut berada dalam situasi cemas dan panik.
Anda pun menurut arahan tersebut tanpa berfikir panjang. Masalahnya, suara yang anda sangka adalah orang terdekat dan kenal itu, mungkin adalah satu penipuan digital.
Bila tersedar, semua sudah pun terlambat dan anda telah terperangkap dalam penipuan digital yang sangat canggih seperti scam suara deepfake.
Itulah realiti pahit yang dibawa sekali dalam era kemajuan teknologi kecerdasan buatan (AI)
Teknologi yang sepatutnya membantu kehidupan manusia turut dimanipulasi oleh penjenayah siber untuk mencipta deepfake, meniru suara dan menjalankan penipuan suara yang lebih meyakinkan mangsa.
Ancaman siber yang dahulunya cuma menyasarkan institusi dan perniagaan besar, kini sudah masuk ke dalam rutin harian kita, orang awam, tanpa sempat kita buat apa-apa persediaan.
Membuka aplikasi permesejan seperti Whatsapp dan Telegram, angkat panggilan yang masuk menerusi telefon atau buka email di komputer riba kini boleh mendedahkan diri kita kepada penipuan siber ini tanpa kita sedar.

Dalam laporan berita, penipuan siber ini tidak mengenal mangsa. Orang tua di kampung yang tidak celik IT, graduan cerdik pandai di universiti, sehinggalah mereka yang menjawat jawatan profesional seperti guru dan peguam, semua berpotensi atau sudah pun pernah diberitakan menjadi mangsa.
Jadi persoalan yang perlu ditanggapi oleh semua pihak, adakah kita rakyat Malaysia benar-benar bersedia menghadapi ancaman siber yang nyata ini?
Sebenarnya, kita tidaklah dituntut untuk menjadi pakar teknologi siber setiap masa. Apa yang boleh kita buat adalah berusaha untuk tidak panik apabila berdepan dengan situasi di atas.
Berhenti sekejap & ambil masa buat pengesahan
Jika terima panggilan daripada individu yang suaranya kita kenali meminta bantuan kewangan, letak panggilan tersebut dan hubungi individu berkenaan menerusi nombor yang anda kenali untuk buat pengesahan terlebih dahulu.
Bertenang, bertenang dan bertenang
Bertenang dan tidak panik adalah kunci utama yang dapat mengelak daripada anda membuat keputusan salah.

Penjenayah siber gemar menggunakan taktik menakut-nakutkan mangsanya, supaya mangsa mudah dimanipulasi dan bertindak mengikut arahan yang diberikan.
Lindungi data peribadi
Jangan mudah berkongsi data peribadi dengan pihak ketiga seperti kata laluan aplikasi perbankan dan kod OTP.
Peka dengan berita semasa
Penjenayah siber sangat licik dan kerap beralih kepada modus operandi penipuan yang berbeza-beza.

Maka, menjadi tanggungjawab anda untuk sentiasa peka dengan berita semasa yang melaporkan insiden-insiden penipuan siber ini.
NEXSEC2026: Ruang untuk belajar dan bersiap sedia
Untuk mendepani cabaran ini, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) turut menganjurkan NEXSEC2026 iaitu platform yang menghimpunkan pihak kerajaan, pemain industri dan pakar keselamatan siber di bawah satu bumbung.
NEXSEC2026 menampilkan perbincangan, pameran dan sesi perkongsian teknologi yang merangkumi AI, penipuan digital, teknologi kuantum dan keselamatan siber.
Selain menjadi pentas persidangan untuk golongan teknikal dalam dunia keselamatan siber berhimpun, platform ini turut membuka ruang kepada orang awam untuk memahami ancaman digital semasa dengan lebih mendalam.

Orang awam yang berkelapangan dijemput hadir untuk menghadiri NEXSEC2026 yang berlangsung pada 25 & 26 November ini di MITEC, Kuala Lumpur.
Antara sesi yang wajar diberi tumpuan oleh pengunjung adalah forum bertajuk “The State of Scams 2026: Trends, Impact and Lessons for Malaysia” yang dijadualkan berlangsung 26 November, bermula pukul 10.30 pagi.
Sesi ini menampilkan Rajeshpal Singh Sandhu dari Global Anti-Scam Alliance (GASA) selaku panel utama dan membincangkan topik berkenaan evolusi trend penipuan, kesannya terhadap masyarakat dan pengajaran yang boleh dipelajari Malaysia.
Jadi, sekali lagi jangan lepaskan peluang keemasan ini. Manfaatkan NEXSEC2026 yang dibuka kepada orang awam ini sebagai peluang untuk anda melengkapkan diri dengan informasi terkini keselamatan siber.
Ingat, isu keselamatan dan penipuan siber bukan lagi tertumpu bila dan adakah kita boleh menjadi mangsa, kerana ya kita memang berpotensi menjadi mangsa pada bila-bila masa sahaja.
Soalan yang lebih mustahak ditanya adalah “adakah kita sudah cukup bersedia?”.
Untuk maklumat lanjut, layari laman web NEXSEC2026 dan ikuti perkembangan semasa menerusi Facebook, Instagram dan X MCMC.

