Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Tahap Ancaman Keselamatan Siber Negara Dinaikkan Daripada Rendah Kepada Sederhana - MKN

siber
Kredit: Bernama

Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) meningkatkan Tahap Ancaman Keselamatan Siber Negara daripada Rendah kepada Sederhana sebagai langkah berjaga-jaga susulan perkembangan keselamatan semasa.

Perkara itu dimaklumkan Majlis Keselamatan Negara (MKN), Jabatan Perdana Menteri (JPM) menerusi satu kenyataan hari ini.

Menurut MKN, langkah berkenaan diambil bagi memastikan perkhidmatan penting negara terus dilindungi daripada sebarang kemungkinan gangguan.

Sehubungan itu, NACSA telah mengadakan mesyuarat bersama Ketua Sektor dan entiti Infrastruktur Maklumat Kritikal Negara (NCII) bagi memperkukuh penyelarasan kesiapsiagaan keselamatan siber di setiap sektor.

Mesyuarat tersebut menetapkan sembilan tindakan kesiapsiagaan yang perlu dilaksanakan oleh semua entiti NCII, termasuk pemantauan keselamatan selama 24 jam, pemasangan tampalan sistem, pengesahan pelbagai faktor dan pengemaskinian Pelan Kesinambungan Perkhidmatan.

MKN memaklumkan, Ketua Sektor NCII turut dikehendaki mengemukakan laporan status ancaman secara mingguan kepada NACSA.

Langkah berkenaan merujuk kepada kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat pada 3 November lalu berhubung kesiapsiagaan keselamatan negara dalam menghadapi perkembangan konflik geopolitik serta ketegangan keselamatan di peringkat serantau dan antarabangsa.

Selain itu, NACSA menerusi Pusat Kawalan dan Penyelarasan Siber Negara (NC4) melaksanakan tiga gerak kerja utama secara berterusan.

Tiga gerak kerja tersebut merangkumi pengeluaran amaran dan nasihat keselamatan siber, pengukuhan keupayaan pengesanan serta penilaian ancaman, selain pemantauan keselamatan siber terhadap entiti NCII dan agensi kerajaan.

Menurut kenyataan itu, langkah berkenaan membolehkan tindakan pencegahan dan mitigasi dilaksanakan lebih awal bagi mengurangkan risiko gangguan terhadap perkhidmatan penting negara.

Sepanjang Oktober 2026, NC4 telah mengeluarkan lapan amaran dan nasihat berkaitan kerentanan yang memberi kesan kepada entiti NCII serta agensi kerajaan.

MKN turut menegaskan komitmennya untuk memastikan keselamatan, kestabilan dan kedaulatan negara terus terpelihara menerusi langkah kesiapsiagaan yang menyeluruh, bersepadu dan berterusan.

Sebelum ini, Anwar dilaporkan berkata Malaysia berpotensi menjadi sasaran serangan siber susulan kekuatan infrastruktur digital dan pusat data negara, selain pendirian tegas kerajaan dalam beberapa isu antarabangsa, khususnya Palestin dan Gaza.

Beliau berkata, perkara itu berdasarkan maklumat risikan yang diperoleh kerajaan, namun tidak semua butiran berkaitan ancaman berkenaan boleh didedahkan kepada umum.

Intipati
  • NACSA menaikkan tahap ancaman siber negara daripada Rendah kepada Sederhana sebagai langkah berjaga-jaga.
  • Entiti NCII diarahkan melaksanakan sembilan tindakan kesiapsiagaan, termasuk pemantauan 24 jam dan tampalan sistem.
  • NC4 mengeluarkan lapan amaran sepanjang Oktober 2026 berkaitan kerentanan kepada NCII dan agensi kerajaan.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan