Lebih 20 Tahun Kencing Berdarah, Lelaki Terkejut Disahkan Sebenarnya Dia Wanita & Datang Bulan
BEIJING – Seorang lelaki di China yang mengalami masalah ‘kencing berdarah’ terkejut apabila diberitahu oleh doktor bahawa dia sebenarnya datang bulan, lapor South China Morning Post.
Selepas 33 tahun dikenali sebagai seorang lelaki, Chen Li, yang namanya telah ditukar bagi melindungi identitinya, telah diberitahu bahawa dia adalah merupakan seorang wanita secara biologi selepas menjalani ujian analisis kromosom.
Dia yang berasal dari sebuah bandar kecil di wilayah Sichuan di barat daya China, dilaporkan pernah menjalani pembedahan untuk membetulkan masalah membuang air kecil yang tidak teratur semasa dia sedang akil baligh. Sejak itu, selama lebih 20 tahun, dia sering mengalami masalah kencing berdarah.
Apabila sering mengalami ketidakselesaan perut yang berlarutan selama lebih empat jam, doktor telah mendiagnosisnya dengan penyakit apendisitis. Walau bagaimanapun, selepas rawatan dilakukan gejala itu tetap berterusan.
Namun, hasil pemeriksaan kesihatan yang dilakukannya pada tahun lalu berjaya membongkarkan derita yang dihadapinya.
Chen dilaporkan mempunyai kromosom seks wanita. Kencing berdarah dan ketidakselesaan perut yang dialaminya itu sebenarnya berpunca daripada kedatangan haid.
Dia yang terkejut dengan berita itu terus bergegas pergi ke hospital Guangzhou di mana hospital tersebut ada menawarkan perkhidmatan untuk merawat masalah kemaluan.
Pemeriksaan perubatan seterusnya mendedahkan bahawa dia juga mempunyai organ pembiakan wanita termasuk mempunyai rahim dan ovari.
Menurut laporan pemeriksaannya juga, tahap hormon seks lelaki androgen yang dimilikinya adalah di bawah paras purata manakala hormon seks wanita dan aktiviti ovarinya pula adalah setanding dengan yang terdapat pada wanita dewasa yang sihat.
Dia akhirnya dikenal pasti oleh doktor sebagai seorang interseks iaitu seseorang manusia yang mempunyai kedua-dua organ pembiakan lelaki dan wanita.
Selepas lebih 30 tahun dikenali sebagai lelaki, dia mendapati pengesahan itu merupakan satu berita yang amat menyedihkan baginya dan memohon agar organ pembiakan wanitanya dikeluarkan.
Susulan daripada itu, dia menjalani pembedahan selama tiga jam pada 6 Jun lalu dan dibenarkan keluar dari hospital oleh doktor 10 hari kemudian.
Doktor Pakar bedah, Luo Xiping, menyatakan bahawa pesakit “cepat pulihdan keyakinannya dapat dikembalikan.”
Doktor itu juga berkata, “mulai saat ini, dia boleh menjalani kehidupannya sebagai seorang lelaki, tetapi dia tidak boleh membiak kerana buah zakarnya tidak dapat menghasilkan sperma.”
Menurut doktor, keadaan seperti itu sebenarnya boleh ditemui seawal usia remaja. Namun, kejadian itu akan memberi sedikit kesan kepada kesihatan fizikal pesakit dan dikhuatiri juga akan mengakibatkan trauma psikologi.
Sumber: South China Morning Post
Baca: Sambil Beli Buku Pun Boleh Bersedekah, Ini Cara Nak Beli Buku Dengan Rebat 10%