MetMalaysia Nafi Akan Berlaku Kejadian Dua Ribut Bertembung Di Tengah
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) memaklumkan bahawa kejadian dua ribut bertembung seperti yang tular di media sosial sejak beberapa hari lalu adalah palsu.
Menerusi kenyataan yang dikeluarkan hari ini, MetMalaysia berkata sistem tekanan rendah yang terbentuk di pantai timur India dijangka bergerak perlahan ke barat memasuki daratan India.
Sistem tersebut akan menyebabkan tiupan angin yang kencang dan lembapan bertumpu di sekitar kawasan berkenaan dan tidak akan memberi kesan kepada negara kita.
Dalam pada itu, MetMalaysia juga turut memberi amaran kepada individu yang menyebarkan maklumat palsu.
“MetMalaysia ingin menegaskan bahawa penyebaran maklumat berita palsu dan tidak sahih boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Orang ramai diingatkan supaya mendapatkan maklumat sahih berkenaan ramalan dan amaran cuaca melalui laman web Jabatan Meteorologi Malaysia iaitu www.met.gov.my, aplikasi mobil myCuaca, media sosial rasmi MetMalaysia serta Hotline di talian 1-300-22-1638,” kata Met Malaysia.
Terdahulu, tular satu perkongsian yang dibuat oleh seorang individu, yang mendakwa bahawa akan berlaku kejadian dua ribut bertembung di tengah.
Individu tersebut juga dipercayai telah merayu kepada kerajaan Malaysia untuk memindahkan penduduk dengan segera.
KENYATAAN MEDIA JABATAN METEOROLOGI MALAYSIA: PENAFIAN DUA RIBUT BERTEMBUNG YANG TULAR DI MEDIA SOSIAL #metmalaysia#KementerianAlamSekitarDanAir#takpastijangankongsi pic.twitter.com/GXyxliOzmb
— Jabatan Meteorologi Malaysia (@metmalaysia) July 13, 2022
Sumber: Jabatan Meteorologi Malaysia