‘Influencer’ Terkenal Sering Tayang Kehidupan Mewah Ditahan, Disyaki Dalang Sindiket Jenayah
BRAZIL – Seorang pengguna media sosial terkenal di Brazil yang sering mempamerkan kehidupan mewahnya telah ditangkap oleh pihak polis kerana disyaki merupakan seorang ketua sindiket jenayah, lapor Daily Star.
Menurut polis, wanita tersebut telah mempamerkan kehidupannya yang mewah seperti melancong, menaiki kapal layar dan juga helikopter untuk mengaburi mata pihak berkuasa.
Dia juga turut dilaporkan berkongsikan kehidupan mewahnya itu ke dalam media sosial di samping melakukan perbuatan jenayah untuk menyelamatkan suaminya yang sedang dipenjarakan.
Wanita tersebut didakwa menguruskan sekumpulan penjenayah untuk menyelamatkan suaminya.
Suaminya yang kini sedang berada di dalam penjara di mana sebelum ini lelaki berkenaan merupakan seorang ketua utama bagi kumpulan penjenayah.
Namun, lelaki itu telah ditangkap di Goias pada tahun 2016 sebelum dipindahkan ke sebuah penjara dengan kawalan keselamatan yang maksimum.
Menurut laporan, wanita itu dilihat sangat bergiat aktif di kawasan kejiranan Jangurussu, Fortaleza yang merupakan ibu negeri bagi Ceara di timur laut Brazil.
Wanita itu turut mula menunjukkan gaya hidup yang mewahnya di dalam media sosial ketika berusia 28 tahun.
Pihak polis berkata, wanita tersebut ditangkap kerana penglibatannya secara langsung melaksanakan arahan yang diberi oleh suaminya.
Dia juga didapati bekerjasama dalam merancang beberapa situasi dengan suaminya sebelum akhirnya berjaya ditangkap di Salvador, Bahia pada 22 Jun lalu.
Namun, pada Ahad 10 Julai yang lalu, dia membuat permohonan untuk ditahan sebagai seorang tahanan di rumah kerana mempunyai dua orang anak yang masih di bawah umur 12 tahun.
Waran tangkapnya telah dikeluarkan oleh Mahkamah Jenayah Pertubuhan Jenayah di Daerah Fortaleza.
Mahkamah Jenayah Pertubuhan Jenayah juga telah membenarkan permohonan wanita itu. Namun, sebagai langkah berjaga-jaga dia dikehendaki untuk memakai gelang kaki elektronik bagi pengesanan lokasi dan dilarang menggunakan telefon bimbit atau talian tetap.
Dia juga dilarang menerima sebarang jenis lawatan, kecuali ahli keluarga terdekat, pegawai perubatan dan peguam yang mempunyai surat kuasa sahaja di dalam rekod.
Sumber: Daily Star
Baca: Sambil Beli Buku Pun Boleh Bersedekah, Ini Cara Nak Beli Buku Dengan Rebat 10%