Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Seorang lelaki warga tempatan berumur 39 tahun ditahan polis bagi membantu siasatan mengenai dua klip video yang menyentuh sensitiviti dan berbaur perkauman di sebuah kelab komedi seperti yang tular baru-baru ini.
Setiausaha Polis Diraja Malaysia (PDRM), Dato’ Noorsiah Mohd Saaduddin berkata, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 kerana mengeluarkan kenyataan yang berkecenderungan menghasut.
Dalam masa sama, kes turut disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1988 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.
“Permohonan reman terhadap suspek akan dibuat pada 15 Julai (Jumaat) bagi melengkapkan proses siasatan.
“Kertas siasatan polis akan dirujuk kepada Pejabat Peguam Negara untuk arahan selanjutnya setelah siasatan dari segala sudut selesai dijalankan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, tambah Noorsiah, difahamkan siasatan kes tersebut masih dijalankan buat masa ini.
Sehubungan itu, orang awam dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi dan kenyataan yang boleh mengganggu siasatan.
Terdahulu, tular di media sosial klip video memaparkan aksi individu yang membuat kenyataan yang dipercayai menyentuh sensitiviti agama serta berbaur perkauman di sebuah kelab komedi di Lembah Klang.
Tidak kurang juga, sebelum itu turut tular sebuah lagi video seorang wanita yang beraksi membuka tudung serta pakaian ketika sedang beraksi di kelab komedi berkenaan.
Sumber: PDRM