Dua beranak dilapor maut selepas digilis lori yang terundur secara tiba-tiba di kawasan berbukit dalam satu kejadian di daerah Malang, Jawa Timur baru-baru ini, lapor Tribunnews.
Menurut Tribunnews, difahamkan kejadian malang itu berlaku di Jalan Jurang Wiloso, Kampung Gondowangi di Wagir pada Rabu malam kelmarin.
Ketua Polis Malang, Iptu Sunarko Rusbiyanto berkata, pada awalnya lori berkenaan yang dipandu oleh pemandunya sedang bergerak di jalan berbukit di kawasan kejadian.
Dalam masa sama, mangsa yang berusia 50 tahun serta anak perempuannya, 28 tahun ketika itu sedang melalui lokasi kejadian dengan menaiki motosikal jenis Honda Beat.
“Lori itu sedang dalam perjalanan dari arah timur menuju ke arah barat.
“Bagaimanapun setibanya di lokasi kejadian, momentum tenaga enjin lori itu dipercayai tidak ‘kuat’ untuk mendaki dan ia dibelok ke arah kanan.
“Kemudian ia terundur ke arah berlawanan di belakangnya,” katanya kepada pemberita, memetik Tribunnews.
Tambah Sunarko, pemandu lori berkenaan juga dipercayai gagal mengawal brek dan stereng hingga mengakibatkan tragedi tersebut berlaku.
“Mangsa mengalami luka parah di bahagian kepala.
“Kedua-duanya disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, sebelum dibawa ke Hospital Kota Malang untuk bedah siasat,” tambahnya.
Sementara itu, pemandu lori terbabit akhirnya ditahan oleh pihak polis untuk beri keterangan dan membantu siasatan berhubung kes tersebut.
Lelaki maut dirempuh, digilis lori

Imbas kembali laporan AWANI terdahulu, satu tragedi hampir serupa melibatkan kejadian maut dirempuh dan digilis lori turut pernah berlaku di Perak kira-kira tiga bulan lalu.
Seorang lelaki meninggal dunia selepas motosikal yang ditungganginya dipercayai dirempuh oleh sebuah lori dalam satu kejadian ketika awal pagi di Kilometer 281 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan.
Ketika itu, Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Perak berkata, pada awalnya panggilan mengenai kemalangan tersebut diterima mereka pada 4:31 pagi hari kejadian.
“Setibanya di lokasi kejadian, didapati kemalangan melibatkan dua buah kenderaan, sebuah lori dipercayai telah melanggar bahagian belakang sebuah motosikal jenis Yamaha LC,” katanya, memetik AWANI.
Menurut AWANI, akibat kemalangan tersebut, mangsa, Mazaitul Hafiszan Ma’an, 38, dilapor tercampak di tengah jalan sebelum dipercayai digilis oleh lori yang sama.
Bagaimanapun, pegawai perubatan yang bertugas mengesahkan bahawa mangsa tersebut telah meninggal dunia di lokasi kejadian.
BACA JUGA: Lelaki Maut Dirempuh, Digilis Lori Pagi Tadi
Sumber: Tribunnews.com