Siakap Keli
kd lekir lancar misil hawaii
Gambar: TLDM

Pertama Kali Dalam Sejarah, KD LEKIR Lancar Misil EXOCET MM40 Di Perairan Hawaii

Kapal Diraja (KD) LEKIR milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) berjaya melancarkan misil EXOCET MM40 tepat ke sasaran di perairan Hawaii, Amerika Syarikat (US) baru-baru ini.

Menurut kenyataan media Cawangan Komunikasi Strategik TLDM, pelepasan misil tersebut dijalankan dalam siri latihan Sinking Exercise (SINKEX) semasa fasa di laut Eksesais Rim of the Pacific (RIMPAC) 2022 pada 12 Julai lepas.

Jelas kenyataan itu, kapal jenis korvet kelas Kasturi tersebut telah mencipta sejarah kerana ia merupakan aset TLDM yang membuat penembakan misil di luar perairan Malaysia buat kali pertama.

“RIMPAC menyediakan platform terbaik untuk meningkatkan interoperability di antara angkatan laut yang mengambil bahagian.

“Penyertaan ini merupakan satu pengalaman yang menambah nilai profesionalisme kru KD Lekir,” ujar Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany dalam kenyataan tersebut.

Gambar: FB TLDM
Gambar: TLDM

Difahamkan, sasaran yang digunakan dalam latihan SINKEX tersebut adalah Ex-USS Rodney M. Davis, (iaitu) sebuah Guided Missile Frigate daripada kelas Oliver Hazard Perry (OHP).

Penembakan tersebut yang berlangsung di K. Mark Takai Pacific Warfighting Center di Ford Island, Hawaii itu disaksikan oleh Laksamana Tan Sri Mohd Reza sendiri serta Timbalan Panglima Armada Barat, Laksamana Pertama Farizal Myeor.

Sementara itu, KD LEKIR sebelum ini telah berjaya melancarkan misil daripada jenis yang sama pada 22 Mei lalu semasa Eksesais TAMING SARI 21/22 di Perairan Selat Melaka Utara sebagai persediaan untuk ke RIMPAC kali ke-28 ini.

“Setelah dua minggu di pelabuhan, peserta RIMPAC telah keluar untuk latihan di laut selama 22 hari mulai 11 Julai yang melibatkan 38 buah kapal, empat buah kapal selam dan lebih daripada 170 buah pesawat milik 26 negara.

“Ini adalah kali kedua TLDM menyertai RIMPAC selepas KD LEKIU mengambil bahagian pada tahun 2018.

“Eksesais maritim antarabangsa terbesar dunia ini merupakan satu peluang latihan bersama pelbagai negara di samping mengukuhkan jalinan kerjasama di antara peserta.

“Saya pasti warga kapal sudah tidak sabar untuk menyertai edisi RIMPAC yang seterusnya,” tambah Laksamana Tan Sri Mohd Reza dalam kenyataan itu.

Rakaman video RIMPAC 2022 turut dimuat naik di siaran Youtube portal berita ketenteraan Air Times News Network seperti berikut:

Sumber: Siaran media Cawangan Komunikasi Strategik TLDM / kredit video Air Times News Network

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.