Siakap Keli
Suspek Bunuh Shinzo Abe Kirim 'Petunjuk'
Kredit: Straits Times

Penulis Blog Dedah, Suspek Bunuh Shinzo Abe Kirim ‘Petunjuk’ Sebelum Melakukan Pembunuhan

Penulis Blog Dedah, Suspek Bunuh Shinzo Abe Kirim ‘Petunjuk’ Sebelum Melakukan Pembunuhan

TOKYO, JEPUN – Suspek utama pembunuhan bekas Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe dilaporkan pernah mengirim surat kepada penulis blog internet untuk memberi petunjuk bahawa dia akan melakukan satu pembunuhan, lapor Straits Times.

Suspek pembunuhan itu pernah mengirim surat di mana dia membayangkan bahawa dia akan membunuh Shinzo Abe dan surat itu dikirim kepada seorang penulis blog yang lancang mengkritik kumpulan agama dan dikenali secara meluas sebagai Gereja Penyatuan.

Tetsuya Yamagami, 41, menghantar surat dari Okayama City kepada penulis blog yang tinggal di wilayah Chugoku.

Surat itu menyatakan kebencian kuat Yamagami terhadap kumpulan yang secara rasmi dipanggil Persekutuan Keluarga untuk Keamanan dan Penyatuan Dunia, di mana ibu Yamagami adalah ahli dan menyatakan bahawa Shinzo Abe bukanlah musuh pada awalnya.

Polis wilayah Nara menyedari surat itu dan bertindak untuk menyiasat bagaimana kebencian suspek terhadap kumpulan itu ditujukan kepada Shinzo Abe.

Bekas perdana menteri itu berucap di Okayama pada petang 7 Julai lalu, sehari sebelum dia dibunuh di Nara. Suspek melawat tempat ucapan diberikan oleh Shinzo Abe tetapi tidak menyerangnya ketika itu.

Surat yang dipos itu dicetak pada helaian kertas A4 dan tidak diletakkan nama pengirim tetapi sampul surat itu juga mengandungi salinan perjanjian yang dicapai apabila kumpulan agama itu memulangkan ¥50 juta (RM1, 610,850) iaitu sebahagian daripada sumbangan ibunya kepada keluarga suspek.

Nama penuh suspek dan alamatnya pada masa itu juga ditulis pada perjanjian itu. Lelaki yang menerima surat daripada suspek itu kemudiannya telah mengaktifkan satu blog yang mengkritik aktiviti kumpulan agama itu.

Suspek mendedahkan dalam surat itu bahawa dia adalah seorang pembaca blog tersebut dan menulis tentang latar belakangnya dengan berkata, “pertengkaran saya terhadap Gereja Penyatuan telah berlalu kira-kira 30 tahun,” katanya.

Suspek juga menambah dengan berkata, “saya pernah memikirkannya, tetapi dia bukan musuh asal saya. Abe hanyalah salah seorang simpatisan Gereja Penyatuan yang paling berpengaruh di dunia nyata. Saya tidak lagi mempunyai masa untuk memikirkan makna politik dan akibat yang akan berlaku akibat kematian Abe,” tambahnya lagi.

Suspek memberitahu penyiasat bahawa dia menyasarkan Shinzo Abe kerana menganggap bekas perdana menteri itu ada kaitan dengan Persekutuan Keluarga untuk Keamanan dan Penyatuan Dunia. Polis percaya suspek mungkin cuba mencetuskan kritikan terhadap kumpulan itu dengan membunuh Shinzo Abe.

Lelaki yang menerima surat itu mengendalikan blog di bawah namanya sendiri. Dia tidak pernah bertemu suspek, tetapi surat itu menyatakan bahawa suspek adalah seorang pembaca dan telah menyiarkannya di bahagian komen.

Penulis blog itu menemui surat itu dalam peti surat rumahnya pada 13 Julai lalu iaitu lima hari selepas pembunuhan terjadi. Namun, dipercayai surat itu telah dihantar beberapa hari lebih awal.

“Apa yang dia lakukan tidak boleh dimaafkan,” kata lelaki itu kepada The Yomiuri Shimbun.

“Saya rasa dia mungkin tiada sesiapa untuk bercakap dan ingin meluahkan perasaannya kepada seseorang. Dia mungkin menyangka saya kawannya kerana saya mengendalikan blog yang dia guna untuk siarkan idea,” katanya lagi.

Penulis blog juga diketahui sering menulis perkara berkenaan masalah yang dialami oleh anak-anak penganut kumpulan tersebut.

“Saya faham penderitaan yang anak-anak alami,” katanya.

“Tetapi saya harap dia berunding dengan saya secara langsung sebelum pergi sejauh itu,” katanya.

Sumber: The Straits Times

Baca: Sambil Beli Buku Pun Boleh Bersedekah, Ini Cara Nak Beli Buku Dengan Rebat 10%

Nurlizah Khazani

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.