Hari Bahagia Bertukar Tragedi, 20 Dilapor Maut Apabila Bot Bawa Rombongan Kahwin Karam
PAKISTAN – Sekurang-kurangnya 20 orang dilapor lemas manakala 30 lagi hilang selepas sebuah bot yang membawa tetamu ke sebuah majlis perkahwinan karam pada Isnin lalu, lapor Daily Mail.
Menurut laporan, kejadian tersebut berlaku di sebuah sungai di Pakistan. Kebanyakan mereka yang dilapor maut dan hilang adalah dari kalangan wanita dan kanak-kanak. Bot itu membawa lebih 100 orang ketika ia terbalik.
Bot yang terlebih muatan itu difahamkan sedang menyeberangi sungai Indus untuk pergi ke majlis perkahwinan yang terletak di daerah Sadiqabad. Hampir 90 orang diselamatkan oleh penyelam.
Kesemua mereka yang berada di atas bot tersebut dipercayai merupakan sebuah keluarga yang dalam perjalanan untuk ke majlis perkahwinan di sungai seberang. Bot itu telah membawa keluarga itu sepanjang laluan antara kampung Machka dan Kharor.
“Kami telah menjumpai 20 mayat setakat ini dan kebanyakan dari mereka adalah wanita,” kata pegawai kerajaan tempatan Aslam Tasleem.
Beliau berkata, kira-kira 30 orang lagi mangsa setakat ini masih hilang.
“Kami tidak pasti berapa ramai orang yang berada di dalam bot itu. Kami mendapat anggaran hanya berdasarkan bilangan ahli keluarga,” jelas beliau lagi.
Menurut laporan juga, hampir 35 penyelam dari perkhidmatan menyelamat yang dikendalikan kerajaan mengambil bahagian dalam operasi mencari dan menyelamatkan lebih ramai orang yang berada di dalam sungai itu.
Jurucakap Sadiqabad Rana Kashif Mehmood berkata, pasukan penyelamat masih berada di tempat kejadian untuk melakukan operasi pencarian.
Pegawai polis Mohammad Hammad berkata, “kebanyakan yang lemas kelihatannya seperti wanita kerana jika mangsa merupakan lelaki mesti mereka tahu untuk berenang dan jumlah kematian mungkin akan meningkat,” katanya.
Saleem Assi, pegawai kanan kerajaan berkata, pengantin lelaki adalah antara mereka yang diselamatkan. Namun, sehingga kini masih belum jelas sama ada pengantin perempuan turut terselamat ataupun tidak.
Dia turut memberitahu, punca kemalangan masih tidak diketahui dengan tepat tetapi dipercayai berlaku disebabkan bot itu sesak. Beliau juga mengesahkan kesemua mereka yang mayatnya ditemui oleh penyelamat adalah wanita dan kanak-kanak.
Dalam satu kenyataan, Perdana Menteri Shahbaz Sharif menzahirkan rasa sedih dan dukacitanya atas kejadian itu serta meminta pihak berkuasa melakukan usaha terbaik mereka untuk menyelamatkan mangsa yang masih hilang.
Kemalangan seperti itu adalah perkara biasa di Pakistan, di mana bot kayu sering digunakan untuk mengangkut barang dan orang di sungai dan tasik. Kebanyakannya beroperasi tanpa jaket keselamatan.
Penduduk kampung di luar bandar Pakistan menggunakan bot sedemikian untuk mengelakkan kos pengangkutan kereta yang lebih tinggi di jalan raya yang berlubang yang jauh dari rumah mereka.
Wanita tidak digalakkan secara meluas untuk belajar berenang di Pakistan disebabkan kod kesopanan konservatif yang masih mengawal kebanyakan tingkah laku awam mereka.
Sumber: Daily Mail
Baca: Sambil Beli Buku Pun Boleh Bersedekah, Ini Cara Nak Beli Buku Dengan Rebat 10%