Doktor Terkejut, Anak Kucing ‘Kembar Siam’ Baru Lahir Berjaya Hidup Walau Diramal Tak Bertahan Lama
THAILAND – Seekor kucing yang dilahirkan dengan dua muka menjadi bualan hangat di Thailand selepas berjaya hidup meskipun diramal tidak bertahan lama selepas dilahirkan, lapor Daily Mail.
Menurut pemilik, anak kucing yang dilahirkan di wilayah Lampang pada Ahad lalu itu kini meminum susu dari kedua-dua mulutnya.
Tambahnya, kembar siam itu dinamakan dengan nama Tung Ngern (beg perak) dan Tung Tong (beg emas).
Difahamkan, pemilik telah membawa ibu kucing ke klinik haiwan setelah mendapati ia mengalami kesukaran untuk melahirkan.
Doktor veterinar yang melakukan pembedahan Caesarian ke atas kucing tersebut terkejut sebaik menyambut anak kucing berkenaan.
Menurutnya, anak kucing bermuka dua yang dikenali sebagai kucing Janus sempena dewa Rom itu jarang hidup lebih daripada sehari.
Dia turut memberitahu media tempatan bahawa kucing tersebut tidak akan hidup lama.
Walau bagaimanapun, selepas melihat anak kucing tersebut bergelut untuk kekal hidup, dia akhirnya membuat keputusan untuk terus menjaganya.
“Saya hampir tidak dapat tidur sama sekali sejak ia dilahirkan kerana kucing itu langsung tidak boleh mengangkat kepalanya dan memerlukan perhatian yang berterusan. Sama seperti menjaga bayi manusia.
“Pada mulanya, saya berfikir untuk memberikan anak kucing itu kepada seseorang yang berpengalaman kerana saya langsung tidak memiliki pengalaman. Namun jika difikirkan, belum pernah lagi ada kes sebegini,” ujar pemilik.
Anak kucing bermuka dua, bermata empat, berhidung dua, bermulut dua dan bertelinga dua itu kini dilaporkan sihat dan gembira menyusu.
Walaupun anak kucing Janus jarang bertahan selama lebih daripada satu hari, pada tahun 1999 seekor anak kucing bermuka dua kelabu bernama ‘Frank dan Louie’ yang dilahirkan di Massachusetts berjaya hidup selama 15 tahun.
Pada tahun 2012, kucing itu telah mencipta nama dalam Guinness Book of World Records sebagai kucing Janus yang paling lama hidup.
Sumber: Daily Mail
Baca: Sambil Beli Buku Pun Boleh Bersedekah, Ini Cara Nak Beli Buku Dengan Rebat 10%