Sekumpulan saintis di China telah menemukan satu cara baharu untuk memerangi pencemaran lautan dengan mencipta robot ikan kecil atau ikan robotik yang mampu ‘memakan’ plastik mikro.
Salah satu bahaya yang berpunca daripada pencemaran plastik mikro ialah ia akan dimakan ikan dan kehidupan akuatik tanpa sengaja. Bukan itu sahaja, ikan dan kehidupan akuatik tersebut pula berkemungkinan akan menjadi makanan manusia dan haiwan yang berada di planet ini.
Terdapat pelbagai cara untuk menangani pencemaran bahan ini termasuklah pembangunan ikan robotik. Namun begitu, sejauh manakah ikan robotik ini mampu mencapai objektifnya, iaitu ‘membersihkan’ lautan kita?
Menurut Eco Watch, penciptaan ikan robotik ini telah diperkenalkan dalam satu penulisan terbitan Nano Letters. Berdasarkan sekumpulan saintis daripada Universiti Sichuan, robot ikan ini mampu menyedut plastik mikro yang terdapat pada permukaan air cetek.

Secara umumnya, plastik mikro ialah partikel halus yang telah terurai daripada produk plastik seperti botol, fabrik sintetik dan sebagainya. Bahan pencemar ini boleh dikatakan berada di mana-mana sahaja dan kehadirannya boleh mengancam persekitaran termasuklah kesihatan manusia dan haiwan.
Sehubungan itu, kehadiran partikel halus ini telah mencemari makanan dan minuman kebanyakan penduduk Bumi. Tidak hairanlah, plastik mikro juga boleh ditemui dalam darah manusia, paru-paru dan juga dalam janin bayi.
Oleh itu, saintis di China meletakkan harapan agar ikan robotik tersebut mampu mengumpulkan plastik mikro yang terdapat pada permukaan air yang lebih dalam. Berdasarkan kenyataan salah seorang pengkaji, Wang Yuan, ia dapat memberikan maklumat yang digunakan untuk menganalisis pencemaran lautan secara tepat.
“Kami membangunkan robot kecil yang ringan. Ia boleh digunakan dalam pelbagai konteks seperti bidang bio perubatan atau pembedahan kritikal. Sebagai contoh, robot kecil tersebut boleh ditempatkan dalam bahagian badan untuk membantu merawat beberapa penyakit,”
Menurut Euronews, robot ikan ni hanya berukuran 1.3 sentimeter (cm) dan memiliki tekstur yang lembut. Robot ikan yang berwarna ini dikawal dengan menggunakan cahaya, yang mana ia membantu robot ikan tersebut untuk mengepakkan siripnya serta menggerakkan badannya.
Berdasarkan American Chemical Society, pancaran cahaya infra merah pada ekornya akan menyebabkan robot itu bergerak mengikut anatomi ikan sebenar. Para saintis juga boleh menggunakan cahaya untuk mengelakkan ia merempuh makhluk lain atau kapal.