Boleh Ke Makan Atau Pakai Barang Hasil Jual Beli ‘Cedok-Cedok’? Ini Penjelasannya
Barang-barang yang sudah dibeli daripada hasil jual beli ‘cedok-cedok’ di aplikasi TikTok perlu ‘disucikan’ dengan menyerahkannya kepada orang yang lebih berkeperluan.
Perkara itu dimaklumkan oleh Ustaz Dai Fuad Mokhtar menerusi rancangan SK On Air di Facebook Siakap Keli TV.
“Bila kita faham satu jual beli yang tidak sah dalam syarak ini, cara yang terbaik adalah menyucikan ia.
“Apa cara untuk menyucikannya? Antaranya adalah dengan kita menyerahkannya kepada orang yang lebih berkeperluan.
“Katalah makanan tiada masalah, alat kosmetik pun tiada masalah untuk mensucikannya kerana ada perempuan yang berhajat kepada alat komestik.
“Jadi perkara yang paling senang kita nak keluar daripada perbezaan pandangan ini, kita dah beli barangan yang dicedok-cedok itu, kita nak sucikan (ini dikatakan sebelum ditimbang secara adil) dengan berikan kepada orang lain terutama kepada orang yang memerlukan dan sebaiknya tidak berikan kepada orang yang ada kepentingan dengan kita, beri kerana Allah SWT,” katanya.
Tambahnya lagi, kebanyakan ulama dan tokoh agama telah memberi pandangan berkaitan jual beli ini.
“Kita tahu pandangan dah keluar oleh tokoh-tokoh agama tetapi fatwa yang diwartakan mungkin mengambil masa. Jadi sebaiknya kita hindari dari jual beli tersebut,” katanya.
Bagi duit yang diperolehi oleh penjual yang baru tahu bahawa hukum jualan itu haram, Dai Fuad berkata ia tidak boleh digunakan kerana berasal dari sumber yang haram.
“Pandangan saya mudah sahaja, kita keluar dari khilaf ini, bersihkan hati kita. Kalau kita ada duit hasil perniagaan-perniagaan seperti ini, bersihkanlah balik. Pastikan Allah SWT tidak murka pada kita,” ujarnya.
Terdahulu, tular mengenai aktiviti jualan ‘cedok-cedok’ secara live di aplikasi TikTok yang memperlihatkan penjual akan mencampurkan pelbagai jenis barang di dalam satu bakul besar dan menjualnya kepada penonton. Antara barang yang dijual adalah gula-gula, kerongsang, mainan dan barang kosmetik.
Dalam pada itu, Bernama melaporkan bahawa jualan seperti itu sebenarnya dibimbangi akan menggalakkan dan meningkatkan kes penipuan dalam talian.
Timbalan Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) Mohd Yusof Abdul Rahman berkata walaupun trend itu tercetus hanya sebagai kandungan bagi mempromosi produk, kaedah jualan tersebut mempunyai unsur ketidakpastian serta keraguan dalam aspek paparan harga dan kuantiti.
https://www.facebook.com/siakapkelitv/videos/5394229727282632
Sumber: SK On Air
Baca: Sambil Beli Buku Pun Boleh Bersedekah, Ini Cara Nak Beli Buku Dengan Rebat 10%