Siakap Keli
wanita obses ramping
Gambar via Oddity Central

Obses Nak Ramping, Wanita Hilang 40 Kg Amal Diet Ekstrem Sampai Gugur Rambut

Seorang wanita dilaporkan terlalu obses mahu kurus dan ramping hingga sanggup buang berat badan sebanyak 40 kilogram (kg) dalam masa setahun, lapor Oddity Central.

Difahamkan, individu itu yang berusia 30 tahun pada awalnya memiliki berat badan 65 kg, namun kini, dia hanya memiliki berat 25 kg selepas melaksanakan diet ekstrem.

Difahamkan, wanita yang berasal dari wilayah Hebei, China itu mula menjalankan diet ekstrem tersebut selepas melahirkan bayi keduanya gara-gara beratnya mencecah 65 kg ketika itu.

Sehubungan itu, dalam masa setahun sahaja individu berkenaan berjaya melakukannya sehingga lebih separuh berat badan dikurangkan.

Bagaimanapun, dia difahamkan mula mengalami masalah kesihatan yang serius terhadap gangguan pemakanan. Ekoran itu, barulah wanita itu memutuskan untuk berjumpa dengan doktor.

Namun demikian, kehadiran wanita berkenaan di sebuah hospital di bandar Hengshui nyata mengejutkan doktor dengan keadaannya yang begitu kurus dan cengkung.

Selepas didiagnosis dan disahkan menghidap anoreksia nervosa, doktor mengesahkan bahawa dia turut mengalami pelbagai kegagalan fungsi organ termasuk jantung, masalah gastrousus, keguguran rambut dan kitaran haid terhenti.

“Akibat mengalami anoreksia nervosa dan keadaan fizikal serta mental yang lemah, dia tidak menunjukkan sebarang selera untuk makan.

“Dia jatuh sakit dan alami pelbagai kegagalan organ sehingga dihantar ke unit rawatan rapi untuk pemulihan,” kata salah seorang doktor yang merawat wanita terbabit.

wanita turun 40kg berat badan
Gambar: Oddity Central

Walaupun doktor telah memberikan amaran yang serius tentang keadaannya terhadap perubahan gaya pemakanan, individu itu dilaporkan tidak  mengendahkan nasihat tersebut.

Dia juga memberitahu kepada doktor bahawa sebelum ini dirinya turut pernah menjalani diet melampau lain seperti katartik, julap dan akupunktur.

Orang ramai telah menggelarkan wanita terbabit sebagai simbol ketaksuban terhadap kelangsingan badan di media sosial.

Sejak kebelakangan ini, anoreksia menjadi perhatian ramai. Perkara itu sedikit sebanyak telah meningkatkan kesedaran tentang bahaya mengamalkan diet itu.

Secara umumnya, bentuk badan yang ramping sentiasa dianggap sebagai salah satu keperluan dalam kecantikan wanita.

Bagaimanapun sifat obses yang melampau untuk kurus sehingga membahayakan diri sendiri seharusnya perlu dielak agar tidak berlaku masalah lanjutan seperti wanita dalam laporan ini.

Sumber: Oddity Central

Iqbal Yasir

A wise man once said "Siuuuuu"

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.