Gempar, Pramugara Terkejut Jumpa Kepala Ular Dalam Hidangan Kapal Terbang
Seorang pramugara gempar apabila menemui kepala ular dalam hidangan yang tersedia dalam sebuah penerbangan tambang murah, lapor The Sun.
Pramugara itu dilaporkan bertugas untuk sebuah syarikat penerbangan tambang murah yang dalam perjalanan menuju Dusseldorf dari Ankara.
Pramugara tersebut sempat merakam penemuan seram itu dan berkongsi secara dalam talian untuk mendapatkan respon segera daripada syarikat penerbangan yang bertanggungjawab.
Difahamkan, sejurus menerima hidangan makanan tengah hari, dia terus membukanya dan terkejut apabila terlihat kepala ular yang merenung tepat ke arahnya.
Kes yang seakan-akan sama seperti yang dilalui oleh pramugara ini turut pernah terjadi kepada kakitangan sebelumnya.
Menurut akhbar tempatan, kakitangan sebelum ini pernah mengadu tentang menerima kumbang dan siput dalam hidangan makanan ketika bertugas dalam syarikat penerbangan tersebut.
Walau bagaimanapun, syarikat penerbangan tersebut menafikan dakwaan menyediakan makanan yang tidak bersih.
“Keutamaan kami adalah menyediakan perkhidmatan yang berkualiti tinggi kepada para tetamu pesawat dan pekerja demi memiliki pengalaman penerbangan yang selesa dan selamat.
“Tuduhan yang dilemparkan dalam akhbar mengenai perkhdmatan makanan dalam penerbangan kami sama sekali tidak berasas dan tidak boleh diterima. Oleh itu, siasatan terperinci akan mula dilakukan.
“Sehingga proses siasatan berkenaan selesai, semua langkah dan tindakan pencegahan termasuk menghentikan bekalan produk berkaitan telah diambil serta-merta,” ujar jurucakap syarikat penerbangan.
Pembekal makanan yang menyediakan makanan kepada syarikat penerbangan itu menyatakan bahawa perkhidmatan yang mereka sediakan telah dimasak pada suhu 280°C dan kejadian itu mustahil berlaku di dapur mereka.
“Syarikat penerbangan itu ialah pelanggan berharga di negara kami dan merupakan salah satu syarikat penerbangan yang terkenal di Eropah dan baru-baru ini mereka memutuskan untuk mengembangkan lagi rangkaian.
“Kami tidak menggunakan apa-apa objek asing yang tidak sepatutnya berada dalam makanan ketika memasak.
“Justeru, penemuan itu bukan berpunca daripada hidangan yang kami sediakan,” ujar pembekal makanan.
Sumber: The Sun
Baca: “Dia Biar Je Susu Anak Tumpah, Kalau Aku Tak Lap, Sampai Ke Esok Lah Kering & Masam Di Situ..”