Siakap Keli
Gambar Via Bernama

Kemalangan Gerik: Polis Rakam Percakapan Pemandu Toyota Hilux Dalam Masa Terdekat

IPOH, 25 Julai (Bernama) — Polis akan merakam percakapan pemandu pacuan empat roda Toyota Hilux yang terlibat dalam kemalangan mengakibatkan lima sekeluarga maut di Kilometer 62 Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik-Jeli, Sabtu lepas.

Ketua Polis Perak Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata pemandu wanita berusia 53 tahun itu kini dirawat di Hospital Jeli, Kelantan akibat kecederaan di bahagian dada dan paru-paru.

“Kita akan merakam percakapan wanita itu dalam masa terdekat selepas pulih dan dibenarkan keluar dari hospital.

“Setakat ini, polis sudah merakam percakapan dua penumpang Toyota Hilux berkenaan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak di sini hari ini.

Dalam kejadian pada 3.45 petang Sabtu lepas, Toyota Hilux dari arah Gerik ke Jeli itu dipercayai telah hilang kawalan lalu memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan kenderaan pelbagai guna Perodua Alza yang dinaiki lima sekeluarga berkenaan.

Mangsa yang maut dikenali sebagai Ahmad Khomaini Baba, 32, isterinya Siti Aishah Mohd Rodhi, 32, bapa dan ibu Siti Aishah iaitu Mohamad Rodhi Othman, 64 dan Sharifah Rohana Syed Sagaf, 59 serta anaknya Zara Hana Ahmad Khomaini, 6.

Sumber: BERNAMA

Sofea

Iqra'.

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.