Petaling Jaya, 22 Julai 2022: Sejak 8 Julai, beberapa organisasi media berita melaporkan bahawa seorang doktor tanpa nama menerima memo daripada sebuah pembekal yang mengatakan bahawa suntikan flu (influenza) hanya akan tersedia pada tahun 2024. Ini telah menyebabkan khabar angin tersebar di media sosial bahawa kita kini menghadapi kekurangan vaksin flu.
Kami ingin menegaskan bahawa TIADA KEKURANGAN vaksin flu. Vaksin flu sebenarnya boleh didapati di banyak klinik dan hospital di seluruh negara. Pihak media akan mengetahui perkara ini sekiranya mereka memeriksa dengan beberapa klinik dan bukannya hanya memetik daripada sumber yang tidak dinamakan. Vaksin flu di Malaysia dibekalkan oleh banyak syarikat dan ketidakupayaan sesebuah syarikat tidak menggambarkan keadaan sebenar.
Kes flu semakin meningkat di seluruh negara sejak kebelakangan ini. Sebagai pakar penjagaan kesihatan, kami menasihatkan orang ramai untuk mendapatkan suntikan flu tahunan mereka, terutamanya wanita hamil, kanak-kanak kecil, orang yang mempunyai masalah kesihatan kronik dan warga emas. Kumpulan berisiko tinggi ini terdedah kepada flu teruk yang boleh mengakibatkan sindrom gangguan pernafasan akut, radang paru-paru, kegagalan pelbagai organ dan juga kematian.
Selain menekankan vaksinasi flu, kami juga menggesa orang ramai untuk terus mengamalkan SOP (seperti memakai pelitup muka di kawasan tertutup, kerap mencuci tangan dengan sabun dan air, dan penjarakan fizikal). SOP ini membantu mengurangkan risiko dijangkiti COVID-19 dan flu.
Untuk maklumat lanjut tentang pencegahan flu, sila layari https://actoflove.ifl.my