Polis Sahkan Kenderaan Polis Pengiring Potong Garisan Berkembar Ada Arahan Bertugas
KOTA BHARU – Polis Kelantan sahkan mengenai sebuah video tular di media sosial sejak semalam berhubung insiden sebuah kereta pengiring polis mengiringi dua buah trak tunda dan sebuah pikap yang telah memotong garisan berkembar di Jalan Gua Musang baru-baru ini.
Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun menjelaskan bahawa kenderaan pengiring tersebut telah memberi peringatan secukupnya dengan membunyikan siren serta menyalakan lampu kecemasan kepada pengguna jalan raya yang lain.
Beliau turut menegaskan telah berlakunya kekeliruan dalam kalangan orang ramai mengenai perkara itu.
Walau bagaimanapun, kenderaan pengiring itu memiliki kebenaran sah dari aspek pergerakan untuk mengiringi ketiga-tiga kenderaan tersebut.
“Persoalan orang ramai mengenai video yang tular adalah, kereta pengiring itu mengundang bahaya.
“Sebenarnya, kereta pengiring itu menjalankan tugas mengatur dan mengawal mengikut Seksyen 21 Akta Polis 1967 iaitu tugas di jalan awam.
“Ini bermakna, pengguna jalan raya yang lain perlu memberi kerjasama sama ada memperlahankan kenderaan, memberi laluan kepada kereta pengiring atau berhenti bagi mengelakkan sesuatu berlaku.
“Kenderaan pengiring ada peraturan tersendiri malah mereka tidak boleh sewenang-wenangnya kerana sedang bertugas.
“Saya tidak menyalahkan sesiapa, namun mungkin ramai yang masih keliru dengan perkara tersebut,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan di sini hari ini.
Beliau turut berharap agar pengguna jalan raya dapat memberikan kerjasama apabila berdepan dnegan situasi seperti itu ketika berada di atas jalan raya.
“Ini kerana tugas kenderaan pengiring tidak seperti pengguna jalan raya lain,” tambahnya memetik laporan Kosmo.
Terdahulu, tular sebuah rakaman dashcam yang memaparkan sebuah kenderaan polis pengiring memasuki lorong bertentangan dalam keadaan laju sehingga menyebabkan kenderaan lain terpaksa mengelak ke tepi.
Ekoran dari itu, orang ramai telah mengecam tindakan berbahaya tersebut kerana dilihat mampu mengancam nyawa pengguna jalan raya yang lain.
Sumber: KOSMO
Baca: “Dia Biar Je Susu Anak Tumpah, Kalau Aku Tak Lap, Sampai Ke Esok Lah Kering & Masam Di Situ..”