30 Tahun Menderita, Doktor Berjaya Sembuhkan Lelaki Hidap HIV Guna Rawatan Paling Berbahaya
CALIFORNIA – Sebuah hospital ‘City of Hope’ dilaporkan telah berjaya menyembuhkan seorang pesakit HIV dan Leukemia berusia 66 tahun dengan menggunakan rawatan sel stem yang amat berbahaya, lapor Daily Mail.
Difahamkan, lelaki berusia 66 tahun itu telah disahkan menghidap HIV pada tahun 1988 dan telah dirawat di Pusat Perubatan Nasional ‘City of Hope’ yang terletak di California.
Lelaki itu dilaporkan telah menerima rawatan pemindahan sel stem darah pada awal 2019 dan tidak menunjukkan sebarang bukti replikasi HIV dalam badannya sejak itu.
Dia kini dilaporkan telah berhenti mengambil ubat HIV selama 17 bulan.
Pemindahan yang dilakukan itu diklasifikasikan sebagai rawatan yang amat berbahaya oleh para doktor kerana memerlukan penderma yang mempunyai mutasi genetik.
Hal ini bagi meningkatkan tahap imunisasi badan mereka sekaligus menjadikan mereka mempunyai daya tahan yang tinggi terhadap virus.
Justeru, rawatan itu hanya dikhaskan untuk pesakit HIV yang juga menghidap kanser peringkat akhir.
“Apabila saya disahkan menghidap HIV pada 1988, saya fikirkan ia sebagai hukuman mati untuk saya.
“Saya tidak pernah terfikir akan dapat menikmati kehidupan normal di mana saya tidak lagi menghidap HIV. Namun, City of Hope menjadikannya realiti, saya amat bersyukur,” ujarnya dalam satu kenyataan.
Para penyelidik masih berharap bahawa kejayaan ini dapat memberi impak yang lebih luas serta dapat membantu ramai pesakit HIV dan penghidap kanser darah yang lain.
Pihak hospital mengesahkan bahawa lelaki berusia 66 tahun itu telah menhidap HIV lebih 30 tahun yang lalu.
Dia telah menggunakan ubat terapi antiretroviral untuk mencegah penyakit itu daripada berkembang menjadi AIDS.
Lelaki itu menerima pemindahan sel stem darah pada awal 2019 selepas dia menjalani rawatan kemoterapi induced-intensity yang akan memudahan proses pemindahan.
Pendermanya, yang tidak ingin dikenali merupakan individu yang tidak memiliki pertalian dengannya namun dia memiliki mutasi genetik yang jarang dijumpai iaitu homozigot CCR5 Delta 32.
Menurut doktor, orang yang mengalami mutasi ini memiliki ketahanan semula jadi terhadap HIV kerana mereka memiliki reseptor CCR5 pada sel imun yang berfungsi menyekat laluan untuk virus membiak.
Jenis pemindahan yang dilakukan ini mampu membawa maut kerana terdapat kemungkinan sistem imun badan akan menolak dam menyerang sel baharu yang diimplan.
Walau bagaimanapun, doktor di City of Hope menemui kejayaan dan dalam masa beberapa tahun, kedua-dua kanser dan HIV yang dihidapi oleh lelaki itu telah hilang.
“Kami amat teruja untuk memberitahu lelaki itu bahawa penyakit HIV yang dialaminya telah sembuh dan dia tidak lagi perlu mengambil antiretroviral yang telah dia ambil selama lebih 30 tahun.
“Dia telah melihat ramai rakannya meninggal dunia akibat AIDS pada fasa awal penyakit dan dia menghadapi pelbagai stigma apabila didiagnosis dengan HIV pada 1988.
“Namun, kini dia boleh meraikan kejayaan perubatan ini,” ujar Doktor Jana Dickter, profesor klinikal bersekutu City of Hope.
Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif City of Hope, Robert Stone turut menzahirkan perasaan bangganya kerana telah memainkan peranan dalam membantu pesakit HIV dan leukemia sembuh.
“Sungguh, dengan rendah hati saya bersyukur apabila mengetahui bahawa sains perintis kami dalam rawatan pemindahan sumsum tulang dan sel stem dapat mengubah kehidupan para pesakit.
“Seluruh pasukan City of Hope berbesar hati untuk melakukan perubahan setiap hari dalam penghidap kanser, diabetes dan penyakit lain yang boleh mengancam nyawa, ujarnya.
Data rasmi terkini menganggarkan seramai 1.2 juta orang di Amerika Syarikat menghidap HIV dengan kira-kira satu daripada lapan tidak menegtahui bahawa mereka dijangkiti.
Ramai yang bergantung dengan ubat antiretroviral untuk mengalang virus berkembang menjadi AIDS sepenuhnya, namun mereka masih perlu hidup dengan HIV sepanjang hayat mereka.
Meskipun rawatan ini menjanjikan serta memberi harapan kepada orang ramai yang menderita, pengaplikasiannya agak terhad.
Prosedur bahaya itu hanya boleh dijalankan kepada orang yang berkemungkinan akan mati.
Namun begitu, pakar berharap penemuan yang dijumpai beberapa bulan kebelakangan ini akan membolehkan rawatan yang lebih baik dapat dilakukan.
Lelaki pertama yang berjaya menerima rawatan ini ialah Timothy Ray Brown melalui pemindahan sumsum tulangnya pada 2007 dan berjaya menyingkirkan virus dari tubuhnya.
Walaupun dia telah meninggal dunia akibat kanser, kisahnya adalah satu kejayaan dalam rawatan HIV dan menetapkan peringkat untuk penemuan masa depan.
Sumber: Daily Mail
Baca: “Dia Biar Je Susu Anak Tumpah, Kalau Aku Tak Lap, Sampai Ke Esok Lah Kering & Masam Di Situ..”