Lelaki Dilapor Maut Terkena Panahan Petir Di Mentakab
TEMERLOH – Seorang lelaki dilaporkan maut berhampiran dengan sebuah pasar raya yang terletak di Taman Sri Layang, Mentakab kelmarin apabila terkena panahan petir, lapor Kosmo.
Menurut laporan, kejadian itu berlaku sekitar jam 9 malam ketika hujan lebat di mana mangsa, Enosh Kumar yang berusia 32 tahun berada di lokasi kejadian keseorangan sebelum ditemui maut akibat terkena panahan kilat.
Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd. Azhar Mohd. Yusoff memberitahu, mangsa dijumpai meninggal dunia di tempat kejadian dalam keadaan terlentang dengan adanya kecederaan pada bahagian kepala.
“Pemeriksaan di kawasan sekitar tempat kejadian menemukan kesan panahan petir di sebatang pokok kira-kira tiga meter daripada tempat mangsa ditemukan terbaring,” ujar beliau.
“Tiada sebarang unsur jenayah ditemukan dan mayat mangsa dibawa ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) Temerloh untuk bedah siasat,” tambah beliau lagi.
Asisten Komisioner Mohd. Azhar turut memberitahu, kematian mangsa disahkan sebagai mati mengejut dan menurut laporan bedah siasat, jelas menunjukkan mangsa maut disebabkan panahan petir.
Sumber: Kosmo Online
Baca: “Dia Biar Je Susu Anak Tumpah, Kalau Aku Tak Lap, Sampai Ke Esok Lah Kering & Masam Di Situ..”